Bayaran insentif pengusaha bas sekolah Fasa 2, 25 – 26 Mei

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow memaklumkan bahawa pembayaran insentif kepada semua pengusaha bas sekolah di negeri ini dijadualkan pada 25 dan 26 Mei 2019.

 

Menurut beliau, pemberian bantuan tersebut telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang sejak tahun 2016.

 

“Bantuan wang tunai sebanyak RM600 dibayar kepada semua pengusaha bas sekolah yang berdaftar dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

 

“Bagi tahun 2019, RM300 telah dibayar pada Fasa 1, 26 dan 27 Januari lalu, manakala bayaran kali kedua (Fasa 2) iaitu baki lagi RM300 dijadualkan pada 25 dan 26 Mei 2019,” ujarnya sebagai respons terhadap soalan lisan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim pagi ini.

 

Difahamkan, setakat ini, sejumlah RM1.21 juta telah diperuntukan di bawah insentif berkaitan sejak 2016 sehingga Januari 2019.

 

Dalam soalan lisan berkaitan juga, Zulkifli turut menyentuh isu penetapan tambang bas sekolah bagi mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh ibu bapa pelajar.

 

Kon Yeow dalam pada itu menyatakan bahawa penetapan tambang bas sekolah adalah tertakluk kepada bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan bukannya di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING