24 Feb. tarikh akhir penghuni berpindah dari Tanah Wakaf Abdul Kader, respons YDP MAINPP

GEORGE TOWN – Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) memberi tempoh sehingga 24 Februari ini kepada 19 keluarga yang telah bersetuju untuk mengosongkan kediaman masing-masing di Tanah Wakaf Abdul Kader dekat Jalan Mengkuang, Butterworth.

 

Yang di-Pertuanya, Dato’ Abdul Malik Kassim berkata, pada 14 Februari lalu lagi mahkamah mengeluarkan notis pengusiran terhadap penduduk berkenaan.

 

Justeru, beliau berharap para penghuni terbabit mengikut arahan ditetapkan, demi memberi laluan kepada projek pembangunan masa depan atas tanah wakaf tersebut, yang akan dilaksanakan sesegera mungkin.

 

“Daripada pemantauan, MAINPP mendapati terdapat beberapa penghuni sudah mula berpindah, manakala ada di antara mereka juga sedang melakukan kerja-kerja pemindahan.

 

“Kita harap pada tarikh akhir itu nanti, MAINPP akan dapat Writ Milikan Kosong ke atas lot tanah wakaf tersebut dan seterusnya akan memulakan usaha memajukan tanah yang kini di peringkat awal.

 

“Malah, (MAINPP) berharap segala yang dirancang akan berjalan dengan lancar,” katanya dalam sidang media di Bangunan JKP, Jalan Machalister dekat sini pada 22 Februari 2019.

 

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Industri dan Perhubungan Masyarakat dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JAINPP) merangkap Setiausaha Majlis bagi MAINPP, Zulkifli Long.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Malik memberitahu bahawa pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan perundangan terhadap pihak tertentu yang cuba memutarbelitkan fakta sebenar, kononnya MAINPP cuba mengusir penduduk asal di Tanah Wakaf Abdul Kader.

 

“Saya telah lihat banyak rakaman video yang telah viral mengenai isu ini yang jelas memfitnah dan sifatkan ia satu pembohongan besar ke atas MAINPP..mungkin juga mereka nak guna isu ini untuk PRK Semenyih.

 

“Walau bagaimanapun, MAINPP telah kenal pasti beberapa pihak terlibat dan akan kenakan tindakan undang-undang terhadap mereka,” tegasnya.

 

Difahamkan, pembangunan di atas tanah wakaf itu adalah melibatkan pembinaan rumah pangsa kos rendah sebanyak 470 unit dan rumah pangsa sederhana setinggi 22 tingkat yang bertujuan memberi penempatan semula kepada kesemua 46 penghuni terbabit.

 

Semua 46 penghuni terbabit telah ditawarkan ‘rumah ganti rumah’ berkeluasan 1,000 kaki persegi.

 

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS