Amran Hazali CEO baru, ZPP sasar RM125 juta kutipan zakat 2019

GEORGE TOWN – Bekas Penolong Pengurus Besar Khidmat Pengurusan Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Amran Hazali, 46, dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Zakat Pulau Pinang (ZPP) yang baru dalam tempoh dua tahun, berkuatkuasa pada 1 Februari 2019.

 

Mengumumkan perkara itu, Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dato’ Abdul Malik Abul Kassim berharap jumlah kutipan zakat bagi tahun 2019 diharap melonjak sehingga RM125 juta, berbanding RM114 juta yang berjaya dipungut pada 2018. 

 

“Bagi tahun 2019, dengan izin Allah, dan kemakmuran ekonomi, kita harap mendapat kutipan yang lebih daripda sasaran kita,” jelasnya dalam sidang media dekat Pejabat MAINPP, Kompleks JKP, Jalan Macalister di sini pada 22 Februari 2019.

 

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Industri dan Perhubungan Masyarakat dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JAINPP) merangkap Setiausaha Majlis bagi MAINPP, Zulkifli Long.

 

Abdul Malik memberitahu, buat kali pertama ZPP berjaya mengutip lebih RM100 juta pada tahun 2017, dengan jumlah direkodkan sebanyak RM101 juta. 

 

Tambahnya, ZPP berjaya mengutip RM114 juta bagi tahun 2018 walaupun sasaran asal firma subsidiari korporat 100 peratus milik MAINPP itu adalah RM103 juta.

 

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Amran memberitahu bahawa beliau mendapat pendidikan awal sehingga berusia 12 tahun di Blangah Rise Primary School dekat Singapura, sebelum berhijrah bersama-sama keluarga ke Kuala Lumpur.

 

Beliau mempunyai Diploma Perakaunan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Arau dan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Pengurusan) dari Universiti Utara Malaysia (UUM).

 

Amran mempunyai 23 tahun pengalaman dalam pengurusan zakat di Lembaga Zakat Selangor (LZS), kemudian PZZ MAIWP, sebelum dilantik sebagai CEO ZPP.

 

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB 

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS