243 pasukan sertai kejohanan ping pong Piala Ketua Menteri, lakar kemajuan sukan negeri

PENGKALAN KOTA – Sebanyak 243 pasukan dari 72 buah sekolah bakal berentap merebut kemenangan bagi Kejohanan Ping Pong Antara Sekolah Piala Ketua Menteri Pulau Pinang 2023 anjuran Persatuan Ping Pong Pulau Pinang (PTTA) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP).

Presiden PTTA, Dato’ Michael Tiah menyatakan bahawa penganjuran kejohanan pada kali ini merupakan kali ketiga dan telah mendapat sambutan yang baik pada tahun-tahun yang lepas.

“Kejohanan ini merupakan antara yang terbesar pernah dianjurkan oleh PTTA dan telah mendapat sambutan yang baik oleh semua peserta sehingga mampu mencapai penyertaan yang tinggi.

“Di samping itu, majlis perasmian kejohanan ini akan diadakan pada 7 Oktober 2023 ini dekat Pusat Latihan MSN/PTTA, Gat Lebuh Macallum manakala majlis penutup diadakan selepas pusingan akhir pertandingan pada 8 Oktober 2023.

“Menariknya, sempena tahun ketiga penganjuran, bagi sekolah yang memperoleh pencapaian terbaik bakal dianugerahkan Piala Pusingan Ketua Menteri Pulau Pinang, manakala peserta bagi setiap kategori akan diberikan trofi, pingat dan hadiah wang tunai,” ujarnya pada sesi sidang media yang diadakan baru-baru ini.

Hadir sama, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Lau Keng Ee dan Timbalan Presiden PTTA, Dato’ Ir. Ang Aing Thye.

Dalam pada itu, Aing Thye turut memberitahu bahawa sambutan memberangsangkan terhadap kejohanan berkenaan telah menyuntik keyakinan terhadap PTTA untuk membuat persiapan menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan berlangsung di Sarawak pada tahun depan.

“Sudah tiba masanya sukan (ping pong) ini terlibat sebagai acara kompetitif, secara tidak langsung ia pasti akan memberi rangsangan kepada pemain yang ingin menonjolkan kehandalan.

“Pihak PTTA aktif membuat persediaan untuk (SUKMA) kelak, salah satunya dengan menghantar pemain ke luar negara untuk bersaing dan memperoleh pengalaman baharu di samping menyediakan kemudahan yang diperlukan pemain,” jelasnya lanjut.

Dalam sesi yang sama, Keng Ee berharap kejohanan berkaitan boleh dijadikan sebagai acara tahunan untuk sukan ping pong.

“Selaras dengan Visi Penang2030, saya bagi pihak Kerajaan Negeri amat gembira melihat semakin ramai pasukan menyertai Piala Ketua Menteri dalam pelbagai kejohanan, sekali gus memberi peluang kepada pemain muda untuk mempamerkan kemahiran mereka.

“Malah, saya yakin kejohanan ini dapat melakar kemajuan dalam sukan untuk Pulau Pinang,” ujarnya.

PUSAT Latihan MSN/PTTA selaku lokasi kejohanan berkaitan.

Berikut antara enam kategori dipertandingkan dalam kejohanan berkaitan:
i. Berpasukan Lelaki Bawah 10 tahun (lahir pada 2013 dan selepasnya)
ii. Berpasukan Perempuan Bawah 10 tahun (Lahir pada 2013 dan selepasnya)
iii. Berpasukan Lelaki Bawah 12 tahun (lahir pada 2011 dan selepasnya)
iv. Berpasukan Perempuan Bawah 12 tahun (lahir pada 2011 dan selepasnya)
v. Berpasukan Lelaki Bawah 15 tahun (lahir pada 2008 dan selepasnya)
vi. Berpasukan Perempuan Bawah 15 tahun (lahir pada 2008 dan selepasnya)

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT