2,569 penjaja, peniaga divaksin melalui Movac

PADANG LALANG – Seramai 10,052 penjaja dan peniaga berlesen di kelima-lima daerah di negeri ini telah mendaftar untuk mendapat suntikan vaksin COVID-19 melalui Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (Movac).

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata bahawa daripada jumlah itu, seramai 2,569 penjaja dan peniaga telah pun menerima suntikan vaksin setakat semalam.

“Sasaran kita adalah seramai 12,000 penjaja dan peniaga yang berdaftar dengan kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri akan mendapat suntikan melalui program Movac.

Salah seorang peniaga mendapat suntikan vaksin melalui program Movac dekat Kompleks Sukan dan Rekreasi MBSP dekat Jalan Betek pagi tadi.

“(Dan) saya gembira untuk menyatakan bahawa sehingga semalam, seramai 10,052 orang penjaja dan peniaga atau merangkumi 94 peratus daripada jumlah sasaran di kelima-lima daerah telah pun mendaftar menerusi program ini,” katanya pada sidang media selepas meninjau pelaksanaan program tersebut dekat Kompleks Sukan dan Rekreasi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Jalan Betek di sini pagi tadi.

Hadir sama, Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud serta wakil dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Difahamkan, Movac adalah program anjuran bersama Kerajaan Negeri dan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (CITF), KPKT, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan MBSP.

Jagdeep Singh Deo dan Rozali Mohamud ketika meninjau program Movac pagi tadi.

Program tersebut diadakan bermula 30 Ogos hingga 2 September ini melibatkan lima lokasi, iaitu di Dewan Datuk Haji Ahmad Badawi, Butterworth; Kompleks Sukan dan Rekreasi MBSP Jalan Betek, Bukit Mertajam; Stadium Batu Kawan, Stadium Bandaraya Pulau Pinang dan Dewan Perda dekat Teluk Kumbar.

Mengulas lanjut, Jagdeep memaklumkan bahawa di bahagian Seberang Perai seramai 550 orang penjaja dan peniaga telah mendaftar untuk mendapat vaksin melalui berkenaan setakat setakat pagi tadi.

“Oleh itu, saya menyeru dan merayu kepada mereka yang berada dalam kategori penjaja dan peniaga berlesen supaya segera mendaftar untuk mendapatkan vaksinasi.

“Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Pusat kerana mengadakan kolaborasi dengan Kerajaan Negeri untuk menjayakan program Movac yang mana kita lihat program ini mendapat sambutan yang baik sekali,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Rozali menegaskan bahawa mana-mana penjaja dan peniaga yang belum mendapatkan suntikan vaksin tidak akan dibenarkan membuka perniagaan bermula 15 September ini.

“Ini merupakan ketegasan yang perlu dibuat demi keselamatan kesihatan awam di seluruh kawasan Seberang Perai,” tegasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MBSP