PKPD PPR Taman Manggis bergantung kepada penilaian risiko PKD

GEORGE TOWN – Sebuah program saringan bersasar khas telah dijalankan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis, Jalan Zainal Abidin di sini tadi.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow ketika ditemui memberitahu, beliau dimaklumkan oleh Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) bahawa setakat ini, sebanyak 25 kes melibatkan 14 unit rumah telah dilaporkan membabitkan lokasi berkaitan.

 

“Sebenarnya, saringan dilakukan apabila kes-kes dikesan, setakat ini PKD telah melakukan lebih daripada 100 saringan melibatkan kontak rapat.

 

“Malah, program saringan ini dijalankan ekoran kerisauan dinyatakan para penduduk kepada pihak Pusat Khidmat (Parlimen Tanjong) sebelum ini,” ujarnya ketika turun padang di sini.

Hadir sama, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; Ketua Pegawai Ekskutif Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP), ‘Ainul Fadhilah Samsudi serta wakil Surau Al-Marjan.

 

Kon Yeow dalam pada itu mengakui bahawa terdapat permintaan daripada penduduk setempat yang mahukan PPR Taman Manggis diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

 

“Oleh itu, kita minta PKD untuk membuat penilaian risiko sebelum sebarang keputusan diambil.

 

“Kita tiada halangan berhubung ‘permintaan’ ini, tetapi segala keputusan adalah perlu dilakukan oleh PKD setelah analisis risiko terhadap keadaan, kes-kes serta sebagainya dijalankan.

 

“Mungkin saringan pada petang ini akan membantu PKD menilai keadaan,” jelasnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

 

Program saringan yang bermula dari jam 3 hingga 6 petang mensasarkan 300 penduduk.

 

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow turut memberitahu bahawa peruntukan turut disampaikan kepada Surau Al-Marjan untuk para petugas memasak makanan bagi diagihkan kepada keluarga yang mencatatkan kes positif serta diarahkan kuarantin kendiri di rumah.

 

“Di samping itu, Pusat Khidmat saya turut bekerjasama dengan Surau Al-Marjan untuk mengagihkan bakul-bakul makanan kepada isi rumah berkaitan pada 27 Ogos lepas.

 

“Proses sanitasi juga telah dijalankan oleh pasukan Bomba Sukarela Seri Tanjong pada 27 Ogos dan Ahad lepas,” ulasnya lanjut.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING

Video : ALISSALA THIAN