3 mati akibat denggi dalam tempoh dua minggu serius, Kon Yeow kerah aktifkan COMBI

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memandang serius berhubung tiga kes kematian berdaftar akibat denggi dalam tempoh 14 hari bermula pada minggu ke-43.

Justeru, beliau berharap 123 pasukan COMBI atau Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku di peringkat negeri dapat digerakkan sebagai langkah pencegahan awal wabak itu.

“Salah satu strategi utama jawatankuasa khas ini adalah memperkasa dan memobilisasi komuniti untuk menjalankan aktiviti-aktiviti pencegahan denggi,” jelasnya ketika merasmikan Karnival Kesedaran Denggi di Tech Dome Pulau Pinang, Komtar pada 17 November 2019.

Turut berucap, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng mewakili Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Kesihatan dan Pembangunan Luar Bandar, Dr. Afif Bahardin.

Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Tanjong sekali lagi memberitahu Belanjawan 2019 Negeri turut memperuntukkan RM428,333 untuk meneruskan Inisiatif Pulau Pinang Bebas Denggi pada tahun hadapan.

Mengulas lanjut, menurutnya, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang akan terus melanggan teknologi Artificial Intelligence (AI) iaitu suatu mekanisme untuk meramal lokasi wabak yang akan berlaku di satu-satu kawasan, bagi membolehkan tindakan kawalan vektor dilaksanakan dengan lebih awal.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD