Persatuan penjaja diseru jadi stakeholders serta rakan karib KN, bersama gubal dasar dan agenda usahawan – KM

Admin

PULAU BETONG – Persatuan-persatuan penjaja Pulau Pinang termasuk di peringkat kebangsaan diseru menjadi rakan karib kepada Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi-agensi berkaitan.

Seruan tersebut disuarakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada ucaptama Majlis Perasmian Karnival Sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Peringkat Negeri Pulau Pinang dekat perkarangan Masjid Daerah Balik Pulau di sini sebentar tadi.

Kon Yeow berkata, persatuan-persatuan penjaja di Pulau Pinang mahupun kebangsaan perlu menjadi stakeholders dan rakan karib kepada Kerajaan Negeri dan agensi berkaitan termasuk PBT.

“Hubungan karib ini penting untuk kita dapat sama-sama mengubal dasar yang boleh memajukan agenda usahawan dalam kalangan peniaga serta penjaja kecil di Pulau Pinang.

“Saya percaya sebagai stakeholders dan jalinan kerjasama ini, dasar yang lebih baik dapat digubal, peluang lebih banyak dapat dibuka serta warga peniaga akan lebih maju,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong pada penganjuran berkaitan.

Hadir sama, Exco Perdagangan Antarabangsa dan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim
Hussain, Zolkifly Md. Lazim (ADUN Teluk Bahang), Mohd. Tuah Ismail (ADUN Pulau Betong), Datuk Ramli Norani (Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia) dan Muhd. Farouk Abdullah (Yang di-Pertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Negeri Pulau Pinang, PPPKMNPP).

Lebih 20 gerai mengambil bahagian selain penyertaan agensi-agensi kerajaan yang bersama-sama menjayakan karnival anjuran PPPKMNPP dan Kerajaan Negeri berkaitan.

Dalam pada itu, Abdul Halim yang turut berucap pada majlis tersebut menyatakan bahawa pihaknya dengan kerjasama penjaja serta PBT sedang mengenal pasti tapak bersesuaian untuk dijadikan pusat sehenti setempat bagi golongan penjaja dan peniaga kecil menjalankan perniagaan.

Menurutnya, semua penjaja kecil dapat ditempatkan di suatu kawasan khas yang lebih bersih, tersusun dan sistematik.

“Saya banyak mendapat permintaan daripada penjaja dan peniaga kecil untuk ruang niaga khas termasuk untuk perniagaan jenis kendara saji (food truck).

“Perbincangan awal juga telah diadakan dengan Datuk Bandar bagi mengenal pasti kawasan-kawasan yang bersesuaian, dan untuk mereka (PBT) membuat penilaian dan seterusnya menempatkan penjaja serta peniaga di kawasan tersebut, mungkin satu daerah satu kawasan khas,” jelasnya yang merupakan ADUN Batu Maung.

Lanjutan itu, Abdul Halim turut memaklumkan bahawa tahun hadapan di bawah Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Keusahawanan, pihaknya akan mengerakkan secara agresif bengkel, kursus serta latihan kepada golongan penjaja dan peniaga ke arah e-dagang dan usahawan digital.

“Tahun depan kita akan berikan tumpuan kepada e-dagang dan usahawan digital kerana bidang ini masih banyak usahawan yang belum memanfaatkan ia dan masih bergantung kepada jenis tradisional,” katanya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : CHAN KOK KUAN