31 jemaah umrah Persatuan Orang Pekak Pulau Pinang terbang ke Baitullah esok

DATUK KERAMAT – “Istimewa Umrah Bersama Warga Pekak Unit Islam ini dirancang, kesemua 31 peserta kumpul duit sendiri, sampai kami tak terlintas untuk meminta sumbangan atau tajaan daripada mana-mana pihak.”

RAZMAN Tan Abdullah.

“Di sini, kami nak jelaskan betapa beratnya kami mengumpulkan wang, sebenarnya dalam tempoh lebih satu tahun setengah, ada yang menolak gaji dan mengumpul duit sedikit demi sedikit daripada pelbagai sumber pendapatan, sehinggalah cukup untuk mengerjakan umrah.

Jelas Presiden Persatuan Orang Pekak Pulau Pinang (PDA), Razman Tan Abdullah menerusi jurubahasa isyarat, Asma Nurul Ain Salim dalam majlis ringkas di Masjid Negeri Pulau Pinang di sini pada 25 November 2019.

Razman memberitahu orang pekak yang mengerjakan umrah sebenarnya kelihatan hampir seperti orang normal yang lain, tapi sebenarnya memang memerlukan jurubahasa isyarat untuk memandu perjalanan dan kaedah melafazkan bacaan serta niat sepanjang mengerjakan ibadah umrah.

“Rombongan orang pekak mengerjakan umrah ini, sebagaimana dilaksanakan oleh Unit Islam PDA ini mungkin kali pertama dianjurkan oleh persatuan ini, tapi PDA di negara-negara lain telah beberapa kali menganjurkan program seumpama ini dengan diiringi oleh jurubahasa isyarat.

“Pada kesempatan ini, saya juga ingin memohon maaf kerana tidak dapat turut serta rombongan mengerjakan umrah pada kali ini, tetapi saya tetap berdoa agar ibadah kalian diterima dengan rahmat Tuhan,” ulas Razman.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Juara Travel & Tours Sdn. Bhd. kerana mengatur urusan penerbangan 31 ahli jemaah umrah daripada Unit Islam PDA, termasuk menaja perjalanan Timbalan Presiden PDA ke tanah suci Makkah.

“Ketua rombongan umrah istimewa kita adalah Sideek Shahul Hamid, 28 daripada 31 ahli jemaah ini adalah orang Pulau Pinang, sementara tiga lain adalah orang Terengganu…. Alhamdulillah.

“Umrah pada kali ini selama 12 hari termasuk hari penerbangan pergi dan pulang, selepas selesai majlis ini, kita akan menaiki bas dan terbang dari KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) pada hari esok,” katanya lagi.

USTAZ RAZAK menyampaikan ucapan, sambil dibantu jurubahasa isyarat, Aimi Nur Ain Salim.

Turut berucap, “Ustaz Razak” yang berharap agar jemaah istimewa ini dapat mengerjakan ibadah umrah dengan selamat.

“Bagi mereka yang telah dipilih menjadi tetamu Allah mengerjakan ibadah umrah pada kali ini, boleh memasang impian dan kumpul duit secukupnya untuk mengerjakan ibadah Haji pula,” jelasnya.

Beliau turut mengesyorkan agar PDA mendapatkan sumber bantuan kewangan dan tajaan haji daripada yayasan kebajikan umat Islam, seperti Yayasan Al-Bukhary.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: CHAN KOK KUAN