PEKA, PV UiTM dekati pelajar sekolah, dedah kehidupan sebenar di kampus

Admin

SEBERANG JAYA – Seramai 103 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Machang Bubuk, Bukit Mertajam menyertai program ‘Your Life, Your Future, Your Choice’ selama sehari, yang dianjurkan secara bersama oleh Penggerak Komuniti Muda (PEKA) dan Sukarelawan Pulau Pinang (PV) iaitu kelompok mahasiswa daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Permatang Pauh pada 16 November 2019.

Pengarahnya, Muhammad Zikri Zulkifli berharap dengan pendedahan mengenai kehidupan sebenar di kampus kepada para pelajar sekolah, dapat menyemarakkan lagi minat mereka untuk memburu kecemerlangan dalam akademik serta berjaya ditawar masuk ke Universiti Awam, kelak.

“Sepanjang program, para peserta telah didedahkan dengan kursus-kursus yang ditawarkan di UiTM, proses permohonan masuk ke universiti, kelayakan minimum bagi memohon setiap kursus dan laluan kerjaya yang ditawarkan setiap kursus.

“Satu slot perkongsian khas juga telah dijalankan oleh wakil sukarelawan PV dari setiap kursus di UiTM Permatang Pauh bagi menceritakan pengalaman sebenar sebagai pelajar universiti.

“Dalam slot ini, para pelajar sekolah dapat mendengar sendiri dari mulut seorang mahasiswa tentang apa yang bakal mereka pelajari bagi setiap kursus, apa yang perlu dijangkakan apabila mereka meneruskan pengajian kelak, dana apa yang perlu diberi perhatian agar mereka dapat diterima bagi meneruskan pengajian di dalam bidang dan kursus yang diminati,” jelasnya dalam satu kenyataan bertulis yang diemelkan kepada akhbar Buletin Mutiara, pada 25 Novembr 2019.

Menurut Muhammad Zikri lagi, PEKA selaku entiti Kerajaan Negeri buat kali pertama menganjurkan program seumpama itu dengan melibatkan pelajar-pelajar sekolah, dengan dibantu oleh 33 sukarelawan PV daripada UiTM.

Justeru, beliau turut menyeru anak muda yang berminat untuk menjalankan kerja-kerja kemasyarakatan dan pergerakan sukarelawan supaya menyertai PV dan PEKA dengan menghubungi 04-226 5187 sambungan 232 ataupun whatsaap 019-606 9023 atau emel ke [email protected].

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : PEKA