35 tahun di Komtar, Mamu Mydin terus bertahan dengan perniagaan mata wang lama

56047293 35ab 4d47 82ad fa8d7e5ac20a

MEMASUKI tahun 2026, bangunan ikonik dan tertinggi di Pulau Pinang, Kompleks Tun Abdul Razak atau lebih dikenali sebagai Komtar, bakal mencecah usia 40 tahun.

 

Dalam tempoh tersebut, pelbagai jenis perniagaan pernah mewarnai Komtar; ada yang bertahan sejak lebih 40 tahun di lokasi sama.

 

Wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI bersama jurufoto LAW SUUN TING sempat menemu bual salah seorang penyewa lama di tingkat dua Komtar, iaitu MOHAIDEEN MEERA MOHAMED IDRIS.

 

 

Beliau yang mahu disapa dengan panggilan Mamu Mydin merupakan pemilik kedai MM Old Coins & Notes yang telah bertapak di Komtar selama 35 tahun.

90ebbbea 0204 44bb bfb3 9df652c71999

 

“Saya memang berada di sini sejak 35 tahun lalu dan tidak berminat untuk berpindah. Saya rasa di Komtar lebih mudah.

 

 

“Ia berada di tengah-tengah bandar, menjadikan urusan jual beli lebih senang bagi pengumpul duit lama untuk datang berurus niaga.

 

814e2b36 1ee4 41e5 9fcc 5cb13d218a03 e50a310e cb57 415c 8f2e 6a206b0b9320

“Di sini saya menyimpan pelbagai koleksi mata wang dari negara berbeza, namun kebanyakannya daripada Malaysia, Singapura dan Brunei,” ujarnya.

 

 

Mamu Mydin menceritakan, sebelum berkecimpung dalam perniagaan duit lama, beliau pernah bekerja di sebuah premis pengurup wang. Dari situlah minatnya terhadap mata wang mula bercambah sehingga hobi itu bertukar menjadi perniagaan.

 

 

“Saya perlu mengenali wang ketika bekerja di pengurup wang dan dari situ datangnya minat untuk membuka premis ini yang kini berusia 35 tahun di Komtar.

 

 

“Untuk koleksi paling berharga, saya memiliki duit zaman Malaya, sebelum terbentuknya Malaysia.

 

 

“Duit 10 dollar (mata wang ketika itu) kini boleh mencecah harga sehingga RM3,000 sekiranya urus niaga berlaku hari ini,” katanya dengan senyuman.

 

 

Berkenaan pelanggan, Mamu Mydin berkata bahawa beliau menerima kunjungan daripada seluruh Malaysia termasuk pelancong asing.

 

 

“Pelanggan tidak menentu…sekarang ini tidaklah begitu ramai, mungkin kerana jumlah pengumpul semakin berkurangan.

 

 

“Apabila ada pelanggan yang datang pun, transaksi belum tentu berlaku. Ia bergantung kepada permintaan mereka dan sama ada saya bersedia melepaskan item tersebut,” tambahnya yang menetap di Jalan Perak.

 

 

Menurut Mamu Mydin, walaupun banyak pembangunan baharu di sekitar bandar, beliau masih mahu kekal berniaga di Komtar. Beliau amat selesa di lokasi tersebut dan tidak bercadang menjual perniagaannya.

 

 

“Lagipun, kadar sewa di sini sudah turun. Pada tahun 2015, saya bayar RM2,500 sebulan, sekarang cuma RM1,000 sahaja.

 

 

“Jadi kena ucap terima kasih juga kepada PDCSU (Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang Setia Urus Sdn. Bhd.),” selorohnya.

 

 

Menyentuh mengenai legasi perniagaan, Mamu Mydin mengakui anak-anaknya tidak berminat untuk meneruskannya.

 

 

“Mereka tidak berminat.

 

 

“Mungkin mereka ada kerjaya lain yang lebih baik, dan saya pun tidak mahu memaksa,” katanya menutup bicara.