Usaha selamatkan gelandangan diteruskan dari semasa ke semasa

Admin
98bfe5cc 7148 4b39 98b8 24e04aed4d9c

GEORGE TOWN – Operasi menyelamatkan golongan gelandangan merupakan usaha berterusan oleh Kerajaan Negeri bersama dengan agensi-agensi kerajaan dalam memastikan kualiti hidup mereka lebih bermaruah.

Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata usaha tersebut termasuklah menyediakan perlindungan sementara dan padanan kerja untuk kelangsungan hidup mereka.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media ketika Program Gunting Rambut Percuma Kepada Gelandangan Anjuran Kelab Media Mutiara dengan kerjasama Mat Salleh Barber dekat Pusat Transit Harapan di sini pagi tadi.

“Kita akui Pulau Pinang memang menjadi tumpuan golongan yang mahu mencuba nasib di sini sebab ada pepatah mengatakan, ‘di Pulau Pinang anda tidak akan mati kebuluran’, dan antara sebabnya adalah rakyat kita pemurah.

“Ini telah menyebabkan berlakunya lambakan gelandangan terutamanya dari luar negeri termasuk negari jiran.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri bersama dengan agensi-agensi bertanggungjawab seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dan lain-lain mengadakan operasi berkala menyelamatkan golongan ini.

“Dari situ kita akan adakan job matching (padanan kerja), ada makanan disalurkan kepada mereka, ada tempat tinggal, boleh mandi, menukar pakaian baharu sambil memulakan hidup baru,” ujarnya kepada pemberita.

Pada masa sama, Pihak Transit Harapan turut  giat bekerjasama dengan syarikat-syarikat serta badan bukan kerajaan (NGO) dalam menjayakan proses padanan kerja.

Antara lokasi-lokasi tumpuan di Pulau Pinang adalah sekitar Komtar, Jalan Penang, rumah-rumah ibadat seperti masjid atau tokong dan yang terbaharu, Penang Sentral.

Siew Khim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang menjangkakan peningkatan jumlah gelandangan menjelang sambutan Tahun Baharu Cina dan Ramadan nanti.