350 terima sumbangan Aidiladha Kerajaan Negeri

PENAGA – Kerajaan Negeri sentiasa mengambil pendekatan menganjurkan program-program kemasyarakatan secara berterusan dalam usaha mendampingi dan menyayangi warga desa.

Setiausaha Politik kepada Y.A.B. Ketua Menteri, Wong Hon Wai berkata, pendekatan sedemikian adalah perlu supaya jalinan ikatan antara Kerajaan Negeri dan semua lapisan masyarakat termasuk warga desa tidak terputus.

Atas dasar itu, beliau memberitahu, Kerajaan Negeri akan terus menggerakkan ahli-ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) supaya memainkan peranan sebagai penggerak terhadap program-program kemasyarakatan dan kebajikan setempat.

“Selalunya, orang berpandangan bahawa program-program mendampingi rakyat hanya dijalankan di kawasan bandar, tetapi kita (Kerajaan Negeri) ingin menunjukkan bahawa kita (Kerajaan Negeri) juga mendampingi penduduk luar bandar secara berterusan dan bukannya secara bermusim,” katanya ketika ditemui sejurus selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan Hari Raya Aidiladha Kerajaan Negeri Pulau Pinang di Kampung Pengkalan Bongor, Penaga, Seberang Perai Utara (SPU) di sini baru-baru ini.

Turut sama, Ahli Majlis Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Mohamad Shaipol Ismail dan Pengerusi JKKK Kepala Batas, Lai Hock Peng.

Seramai 350 penerima terpilih menerima hamper sumbangan Kerajaan Negeri sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini.

Mengulas lanjut, Hon Wai memberitahu bahawa majlis serupa turut diadakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Sungai Dua dan Permatang Berangan sebelum ini.

Selain beramah mesra dengan penduduk, Hon Wai turut berkesempatan berkongsi perkembangan terkini tentang usahausaha yang diambil Kerajaan Negeri dalam membendung wabak penyakit anjing gila atau rabies.

“Seperti kita ketahui, kes rabies mula dikesan apabila seorang mangsa dari Pokok Sena, Tasek Gelugor (SPU) digigit anjing liar yang terjangkit.

“Oleh itu, saya ingin menasihati orang ramai supaya lebih peka dengan persekitaran masing-masing dan segera melaporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) sekiranya digigit atau bersentuhan dengan anjing liar,” seru beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam.

} else {