Aidiladha, hayati erti pengorbanan sebenar

GEORGE TOWN – Masjid Negeri Pulau Pinang melalui Jawatankuasa Qurban 1436 Hijrah Tahun 2015 mengorbankan 11 ekor lembu dan empat ekor kambing sempena sambutan Hari Raya Aidiladha di sini baru-baru ini.

Program yang diadakan di perkarangan masjid tersebut termasuk pengagihan daging korban kepada penduduk setempat dan fakir miskin sambil dibantu kira-kira 30 ahli jawatankuasa.

Pengerusi Jawatankuasa Jemaah Pengurusan Masjid Negeri yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Seri Farizan Darus bersyukur dengan kelancaran program yang berlangsung.

“Selain menjalankan tuntutan agama Islam, saya yakin umat Islam dapat menghayati erti pengorbanan sebenar pada setiap kali sambutan diadakan.

“Pengorbanan dan kesabaran mestilah dikaitkan pada sifat ketaqwaan demi menjamin kejayaan seseorang di dunia serta akhirat kelak,” katanya pada Majlis Perasmian Qurban Perdana 1436/2015 baru-baru ini.

Turut hadir, Yang di-Pertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas bersama isteri, Toh Puan Majimor Shariff yang turut menunaikan solat sunat Aidiladha bersama lebih 1,000 jemaah di sini.

Sementara itu, di Tanah Liat, Bukit Mertajam, Seberang Perai Tengah, Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dato’ Mohd. Salleh Man turut menghadiri sambutan penuh bermakna berkaitan.