Program Latihan Berkembar Vokasional Jerman, KN peruntuk RM2 juta

PANTAI JEREJAK – Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2 juta untuk menjayakan Program Latihan Berkembar Vokasional Jerman (GDVTP) di Pusat Kemahiran dan Pembangunan Pulau Pinang (PSDC) di sini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, seramai 22 pelajar terpilih mengikuti program pertama peringkat diploma lanjutan dalam tempoh 40 minggu.

“Sepanjang tempoh itu, para pelajar turut akan dibayar untuk belajar dengan elaun sebanyak RM900, ini sesuatu yang sukar untuk didapati, kerana selalunya anda perlu bayar untuk menyambung pelajaran.

“Program ini adalah terbuka kepada semua syarikat-syarikat yang berpangkalan di Pulau Pinang dari multinasional (MNC) hinggalah kepada perindustrian kecil sederhana (SME) untuk menghantar pekerja masing-masing dalam ‘menyambung’ pembelajaran melalui program kerjasama ini,” katanya sebelum menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) Antara Kerajaan Negeri dan PSDC di sini baru-baru ini.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang diwakili Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mokhtar Mohd. Jait, manakala, PSDC, Ketua Pegawai Eksekutif, Muhamed Ali Hajah Mydin.

Timbalan Ketua Menteri I merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Dr. Afif Bahardin (Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan), Zairil Khir Johari (Pengarah Eksekutif Penang Institute, PI) turut hadir pada majlis itu.

Guan Eng menambah, langkah Kerajaan Negeri meningkatkan kemahiran modal insan dalam bidang vokasional di negeri ini menerima sambutan menggalakkan daripada gender wanita.

“Malah, saya juga kagum melihat penglibatan kaum wanita yang lebih separuh berbanding jumlah lelaki yang mengikuti program pertama ini,” katanya, sambil menganggap kebolehupayaan wanita dalam bidang kemahiran di negeri ini adalah setara dengan kaum lelaki.

Mengulas lanjut, beliau berharap anak tempatan dapat berlumba-lumba mengambil peluang mempelajari teknologi Jerman melalui program GDVTP, yang sememangnya sudah terkenal di seluruh dunia, melalui pelbagai produk ternama.

Dalam perkembangan sama, Guan Eng baru-baru ini turut melahirkan hasrat untuk membawa sistem pendidikan vokasional dari Australia ke negeri ini, sempena Majlis Meraikan Ulang Tahun Ke-60 Hubungan Diplomatik dengan negara tersebut di sini baru-baru ini.

if (document.currentScript) {