37 peratus tanah pertanian negeri adalah kawasan sawah padi

Admin

BAYAN LEPAS – Tanah pertanian untuk kawasan penanaman padi di negeri Pulau Pinang selepas proses pemutihan adalah seluas 12,105 hektar berbanding sebelumnya 12,785 hektar.

Pengarah Pertanian Negeri, Mohd. Muhaimin Ibrahim dalam kunjungan hormat bertemu Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa keluasan itu menyamai 37 peratus daripada keseluruhan tanah rizab pertanian negeri.

“Selepas pemutihan membabitkan (projek) perumahan kampung, buat jalan dan sebagainya, tinggal 12,785 hektar (tanah kawasan penanaman padi),” jelasnya dalam pertemuan hampir sejam di Kompleks Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) pada 7 Mei 2019 di sini.

Timbalan Pengarah Pertanian Negeri, Shabani Ismail serta Pegawai-Pegawai Pertanian Daerah turut sertai majlis kunjung hormat sulung berkaitan.

Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Hal Ehwal Tanah, Pengangkutan & Komunikasi menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan baru-baru ini ada membincangkan cadangan untuk memberikan pampasan kepada Kerajaan Negeri yang menggunakan tanah untuk tujuan pertanian serta hutan simpan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN