40 ahli jawatankuasa JPWK terima watikah pelantikan, bantu Kerajaan Negeri realisasi visi Penang2030

Admin

SEBERANG JAYA – Seramai 40 Ahli Jawatankuasa (AJK) Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) dari seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) di negeri ini menerima watikah pelantikan hari ini.

Watikah berkenaan disampaikan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dalam majlis anjuran Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) di sini.

AJK JPWL Seberang Jaya antara yang menerima watikah pelantikan.

Kon Yeow berkata, kesemua 40 AJK yang dilantik adalah berperanan untuk menyelaras program-program di bawah portfolio Pembangunan Wanita dan Keluarga bagi memastikan visi Penang2030 yang memfokuskan institusi kekeluargaan, negeri pintar dan hijau dapat direalisasikan.

“Dengan pembentukan AJK di setiap KADUN, kira-kira 600 pemimpin wanita berkebolehan bakal dilahirkan pada masa depan yang akan menyumbang tenaga untuk melaksanakan pelbagai program pembangunan untuk penduduk di negeri ini.

“Kerajaan Negeri percaya, penubuhan JPWK adalah langkah proaktif dan inklusif dalam menghindari segala permasalahan serta isu berbangkit terutamanya melibatkan soal kekeluarga di peringkat akar umbi.

“Bahkan, usaha ini diyakini mampu membawa perubahan strategik untuk mentransformasikan Pulau Pinang sebagai negeri yang memberi fokus kepada pembangunan wanita dan keluarga,” ucapnya pada majlis berkenaan sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita & Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng; Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari; Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee; barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen; Ketua Pegawai Eksekutif PWDC, Ong Bee Leng serta Penyelaras-Penyelaras KADUN.

Dalam pada itu, Chong Eng dalam ucapannya menyatakan bahawa kesemua AJK yang dilantik telah pun melalui proses pelantikan oleh ADUN atau Penyelaras KADUN berdasarkan kemampuan serta kebolehan masing-masing.

“Setiap AJK yang dilantik telah diberi mandat untuk mengambil peduli tentang masalah-masalah yang dihadapi oleh KADUN masing-masing, dan seterusnya mengambil inisiatif serta langkah-langkah proaktif untuk menyelesaikannya,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : K. THAARSHENII
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD