400 murid terpilih Parlimen Kepala Batas dapat bantuan persiapan sekolah

BERTAM – Seramai 400 murid sekolah rendah terpilih dari Parlimen Kepala Batas telah menerima bantuan baucar bantuan persekolahan bagi sesi 2019.

Penyampaian baucar tunai bernilai RM100 itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Zahar Zainul ketika ditemui berkata, pemberian bantuan persiapan sekolah itu merupakan program tahunan yang dilaksanakan di sini sejak 2013, bertujuan membantu keluarga berpendapatan rendah di kawasan luar bandar.

“Baucar ini boleh ditunaikan dengan pembelian pakaian seragam sekolah di kedai terpilih di Pokok Sena dan juga Tasek Gelugor,” katanya.

Sementara itu, Khaliq dalam ucapannya berkata, Kerajaan Negeri sentiasa menitikberatkan kebajikan penduduknya lebih-lebih lagi dalam penyediaan keperluan pembelajaran anak-anak negeri ini.

“Saya juga akan mengadakan kelas tuisyen percuma mata pelajaran sains dan matematik tahun hadapan yang diharapkan dapat mengurangkan sedikit bebanan kepada ibu bapa yang mahu menghantar anak mereka ke pusat tuisyen sedia ada,” katanya.

Hadir sama pada majlis penyampaian yang diadakan di Stadium Tertutup Bertam, dekat sini, Pegawai Penyelaras Khas Ketua Menteri, Lay Hock Peng; Ahli Lembaga Pengarah Zakat Pulau Pinang (ZPP), Mohd. Taupek Abd. Rahman; Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Ooi Yong Wooi dan wakil Parti Amanah Negara, Parlimen Kepala Batas, Ramli Omar.

Oleh: YUSNINA MOHAMAD YUSOF
Gambar: AHMAD ADIL MUHAMAD