43 koperasi Pulau Pinang terima Geran Mutiara Madani

whatsapp image 2025 11 25 at 15.02.05

GEORGE TOWN – Sebanyak 43 koperasi di negeri Pulau Pinang menerima Geran Koperasi Madai bernilai RM200,000.

Exco Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol berkata pemberian geran tersebut adalah sebahagian daripada komitmen Kerajaan Negeri PulauPinang untuk menyokong gerakan koperasi di negeri ini dalam membangunkan aktiviti perniagaan masing-masing.

 

“Kerajaan Negeri, melalui portfolio Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi telah menyediakan dana pembangunan berbentuk Geran Mutiara Madani dengan nilai bantuan maksimum sebanyak RM5,000 untuk setiap koperasi.

 

“Inisiatif ini adalah untuk membantu memperkukuh keupayaan koperasi di negeri ini dalam menjana pendapatan secara lebih mampan dan berkesan,” katanya ketika merasmikan Karnival Koperasi Madani dekat Ruang Legar Konkos Aras 3, Komtar.

whatsapp image 2025 11 25 at 15.02.06 (1) whatsapp image 2025 11 25 at 15.02.06 whatsapp image 2025 11 25 at 15.02.05 (2) whatsapp image 2025 11 25 at 15.02.05 (1)

 

Menurut Fahmi, sehingga tahun 2024 sebanyak 16,284 koperasi telah didaftarkan di negeri Pulau Pinang dengan keanggotaan melebihi 7.2 juta, meningkat 2.72 peratus secara purata dari setahun ke setahun.

 

“Seiring dengan perkembangan ekonomi, gerakan koperasi telah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dengan nilai perolehan mencecah RM68.18 bilion dengan jumlah aset koperasi mencatatkan RM173.35 bilion.

 

“Angka-angka ini menggambarkan potensi besar koperasi sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara selari dengan agenda Malaysia Madani.

 

“Statistik ini juga menunjukkan bahawa Pulau Pinang bukan sahaja negeri berkualiti ekonomi tinggi, malah mempunyai komuniti kondusif untuk membangunkan ekosistem koperasi yang progresif dan mampan,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak.

 

Mmenyedari potensi besar koperasi untuk menjadi pemacu ekonomi rakyat, Fahmi berkata Kerajaan Negeri komited dalam membangunkan gerakan melalui pelbagai usaha termasuk memperkukuh tadbir urus koperasi melalui latihan, bimbingan dan pemantapan pengurusan.

 

“Selain itu, kita turut menggalakkan pembabitan koperasi belia dan koperasi sekolah agar generasi muda memahami nilai ekonomi bersama di samping memperluas sokongan serta bantuan kepada projek aktiviti koperasi supaya potensi komuniti dapat digembleng secara maksimum.

 

“Malah, Kerajaan Negeri juga berusaha untuk meningkatkan kerjasama koperasi antara daerah dan agensi untuk memperkasa pasaran dan memantapkan jaringan perniagaan,” katanya.

 

Oleh: SUNARTI YUSOFF

Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS