450 keluarga terpilih terima hamper raya menjelang Aidiladha

Admin

BERTAM – Menjelang Hari Raya Aidiladha, Kerajaan Negeri melalui Pejabat Penyelaras Khas kepada Ketua Menteri bagi Parlimen Kepala Batas mengagihkan hamper bantuan sumbangan termasuk 1 kilogram (kg) daging segar kepada 450 keluarga terpilih dari sekitar kawasan parlimen berkaitan termasuk Tasek Gelugor.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow ketika berucap memberitahu bahawa Kerajaan Negeri hari ini senantiasa komited dalam mendekati semua kelompok rakyat jelata, sungguhpun telah berlaku perubahan tampuk kepemimpinan pada peringkat Kerajaan Persekutuan baru-baru ini.

Justeru, beliau berharap jentera Kerajaan Negeri dalam semua peringkat dapat terus memberi perkhidmatan ke arah mengeratkan lagi silaturahim dan perpaduan sesama rakyat majmuk di Pulau Pinang.

KETUA Menteri

“Memang Saudara Lay Hook Peng (Pegawai Penyelaras Khas kepada Ketua Menteri bagi Parlimen Kepala Batas), juga pasukannya di pusat khidmat ini biasa menganjurkan program-program untuk mendampingi rakyat di kawasan sekitar.

“Ini, adalah suatu perkara yang amat baik supaya kita dapat saling menjalin persefahaman dan silaturahim di samping menangani isu-isu setempat.

“Walaupun baru-baru ini telah berlaku pertukaran Kerajaan Persekutuan, namun Kerajaan Negeri dan jentera Kerajaan Negeri dari barisan Exco sehingga MPKK (Majlis Pengurusan Komuniti Kampung) di seluruh negeri Pulau Pinang terus komited untuk bersama-sama dengan rakyat serta membawa kesejahteraan kepada rakyat jelata,” jelasnya dalam acara yang berlangsung di Pejabat Pegawai Penyelaras Khas kepada Ketua Menteri Peringkat Parlimen Kepala Batas dekat sini pada 26 Julai.

Ahli Dewan Negara, Senator Lim Hui Ying dan wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut sertai acara tersebut.

Sebelum itu, Hock Peng memberitahu bahawa pihaknya berharap acara agihan bantuan sumbangan pada kali ini akan mengeratkan lagi semangat harmoni dalam kalangan rakyat yang berbilang budaya.

“Penganjuran majlis ini menunjukkan kita (Pejabat Penyelaras Khas Parlimen Kepala Batas) tidak mengasingkan mana-mana bangsa.

“Tujuan penganjuran adalah supaya Kerajaan Negeri terus dilihat ambil berat rakyat jelata di kawasan luar bandar terutama di Tasek Gelugor dan Kepala Batas.

“Pada kesempatan ini juga saya ingin merakamkan penghargaan kepada lebih 50 jentera MPKK di peringkat kawasan Kepala Batas dan Tasek Gelugor kerana membantu memastikan perjalanan dua sesi majlis pemberian sumbangan ini dapat dilaksanakan secara serentak, mengikut SOP (prosedur operasi standard) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” ujarnya sambil merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Kon Yeow kerana terus menyokong program-program kebajikan rakyat di kawasan luar bandar.

Difahamkan, acara agihan bantuan rakyat berkenaan turut mendapat kolaborasi barisan pihak pentadbir daripada Masjid Jamek Bakar Kapor, Masjid Pantai Kamloon, Masjid Simpang 3 Tasek Gelugor, Surau Permatang Kerai Besar, Surau Nurul Huda Permatang Bertam dan Surau Ijtihad Asy-Syarif Permatang Saga.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : CHAN KOK KUAN
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD