45,000 hektar hutan Kelantan dibersihkan, kenapa tiada liputan media meluas seperti Pulau Pinang, soal Guan Eng

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng mempersoalkan ketelusan media tempatan yang bertindak ‘sepi’ terhadap isu lebih 45,000 hektar kawasan hutan di Kelantan yang dibersihkan dan dibalak kebelakangan ini, berbanding isu 16 pokok yang dipindah tanam di Jalan Masjid Negeri di sini tahun lalu.

Memetik laporan akhbar Sinar Harian bertarikh 16 Januari 2017, Guan Eng berkata, sebanyak 200,000 hektar tanah hutan telah dibersihkan di bawah perladangan hutan di Kelantan sejak 15 tahun lalu.

“Kawasan hutan yang ditebas ini seharusnya ditanam semula, namun ini tidak berlaku.

“Menurut Jabatan Perhutanan Kelantan, sehingga kini, hanya kira-kira 10,000 hektar ladang hutan yang telah ditebas dan dibalak ditanam semula. Ini adalah jumlah yang begitu kecil.

“Tanah adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, sungguhpun kena melalui Jabatan Perhutanan. Tetapi, sekiranya Kerajaan Negeri nak klasifikasikan hutan sebagai ladang, dia boleh berbuat demikian,” ujarnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan dan Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam.

Beliau berkata demikian pada majlis sidang media selepas Majlis Pembukaan Rasmi Bangunan Pejabat Baharu Jabatan Landskap dan Jabatan Khidmat Kemasyarakatan di Taman Bandaraya di sini 17 Januari lalu.

Memetik laporan tersebut, kira-kira 2,000 hektar tanah dikeluarkan setiap tahun oleh Kerajaan Kelantan melalui lesen pembalakan di bawah Akta Perhutanan Negara dan sehingga kini, sejumlah 199,000 hektar hutan di Kelantan telah diklasifikasi dan diluluskan sebagai ladang hutan.

Mengulas lanjut, Guan Eng memberitahu, kini lebih 200,000 hektar hutan di Kelantan terancam.

“Jumlah keluasan ini, jika dilihat begitu besar jika nak dibandingkan dengan 16 pohon pokok yang isunya disensasikan dengan liputan begitu meluas.

“Namun, apa yang kita hairan, mengapa isu ini tidak diberi liputan media meluas? “Jelas, ia menunjukkan satu tindakan hasad dengki dan motif untuk burukkan nama dan imej Pulau Pinang yang baik kerana kita (Pulau Pinang) sememangnya dikenali di seluruh dunia sebagai sebuah negeri hijau,” jelas beliau.