Pusat diseru segera jalankan pembenihan awan utara Semenanjung

GEORGE TOWN – Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP), Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa memohon supaya Kerajaan Pusat menjalankan proses pembenihan awan di utara semenanjung.

Katanya, sekarang merupakan waktu yang sesuai untuk menjalankan inisiatif pembenihan awan kerana jumlah taburan awan yang banyak.

“Pembenihan awan perlu segera dilakukan bagi menjamin kapasiti efektif Empangan Beris dan Empangan Muda di Kedah. Kedua-dua empangan ini merupakan sumber utama bagi Sungai Muda yang mana airnya diekstrak bagi memenuhi permintaan selatan Kedah dan Pulau Pinang.

“Kerajaan Negeri Kedah serta Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) juga perlu mengawal pelepasan air empangan di Kedah supaya tidak menjejaskan pengeluaran padi dan seterusnya mampu bertahan sehingga musim kering kini dan dijangka tamat pada April 2017,” ujarnya pada majlis sidang media di sini 19 Januari lalu.

Bagi rekod tahun lepas, Empangan Beris pada 7 Mei 2016 mencatatkan bacaan kapsiti kritikal 24.9 peratus dan Empangan Muda, 14.2 peratus pada 2 Ogos 2016.

Memetik laporan media bertarikh 15 Januari lalu, Jaseni memaklumkan bahawa Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Badrol Hisham Hashim turut menyatakan bahawa pihaknya juga telah memohon Kerajaan Pusat membantu dalam proses pembenihan awan bagi menjamin penanaman padi di musim akan datang.

“Kita menyatakan sokongan kepada Kerajaan Negeri Kedah dalam memastikan bekalan air cukup untuk mengelakkan krisis air, menampung keperluan lebih empat juta pengguna serta pihak industri khususnya di negeri Perlis, Kedah dan Pulau Pinang,” jelasnya.

Kesempatan sama, Jaseni turut menyatakan bahawa dua empangan utama di bahagian pulau berada pada tahap baik iaitu, Empangan Air Itam, 98.1 peratus dan Empangan Teluk Bahang, 100 peratus. Bacaan kedua-dua empangan tersebut diambil pada 18 Januari lalu.