GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri sedang meneliti keperluan untuk memperkukuh pendekatan lebih menyeluruh dan bersepadu dalam meningkatkan sokongan kepada individu autistik serta keluarga mereka di Pulau Pinang.
Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata, sehingga 30 September 2026, seramai 4,850 individu autistik telah berdaftar sebagai orang kurang upaya (OKU) di Pulau Pinang.
“Daripada jumlah itu, seramai 4,021 individu berusia bawah 18 tahun, diikuti 727 orang dalam lingkungan 19 hingga 35 tahun, 97 orang berusia 36 hingga 59 tahun dan lima individu berumur 60 tahun ke atas.
“Mengikut pecahan daerah, Timur Laut mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 1,605 orang, diikuti Seberang Perai Tengah (1,104), Seberang Perai Utara (1,028), Barat Daya (576) dan Seberang Perai Selatan (537),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan berkaitan perancangan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh sokongan kepada individu autistik dan keluarga mereka.
Mengulas lanjut, Siew Khim turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri sedang meneliti keperluan untuk memperkukuh pendekatan lebih menyeluruh dan bersepadu dalam menyediakan sokongan kepada golongan berkenaan.
“Bagi kemudahan pemulihan dan intervensi awal, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pulau Pinang mempunyai 24 buah Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) yang menyediakan perkhidmatan kepada OKU daripada pelbagai kategori termasuk autisme.
“Program ini menyediakan perkhidmatan pemulihan, intervensi awal dan latihan kemahiran bagi membantu OKU mengembangkan keupayaan diri, meningkatkan kemahiran kehidupan harian serta membina sikap berdikari.
“Perkhidmatan ini turut melibatkan keluarga dan komuniti setempat bagi menggalakkan penyertaan serta integrasi sosial golongan OKU,” jelasnya.
Bagaimanapun, Siew Khin menyatakan bahawa buat masa ini, tiada pusat terapi atau pusat latihan khusus untuk individu autistik di bawah JKM Pulau Pinang.
Dalam pada itu, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang turut mempunyai sebuah Pusat Perkhidmatan Pendidikan Khas (3PK) di Kampung Telok, Alma, Bukit Mertajam yang menyediakan perkhidmatan sokongan kepada Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK), termasuk dalam kategori autisme.
Jelas Siew Khim, pusat berkenaan mempunyai empat Pegawai Bidang Khusus yang menyediakan perkhidmatan sokongan kepada semua kategori MBPK yang memerlukan bantuan.
Selain itu, pada masa sama, Kerajaan Negeri turut bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Persatuan Bintang-Bintang Bersinar Pulau Pinang dan LemmeLearn dalam meningkatkan kesedaran serta menyediakan aktiviti sokongan berkaitan autisme.
“Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) yang berdaftar dengan JKM turut menyediakan perkhidmatan dan program khusus bagi menyokong perkembangan serta pembelajaran individu autistik mengikut keperluan masing-masing,” tambah beliau.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT