GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri belum membuat sebarang ketetapan berhubung penjualan cecair vape yang mengandungi nikotin susulan keputusan Kerajaan Persekutuan untuk tidak mengemukakan rayuan berkaitan status bahan itu di bawah Akta Racun 1952.
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata, implikasi perundangan serta pelaksanaan penguatkuasaan berhubung perkara itu masih dalam penelitian dan perbincangan di peringkat Persekutuan.
Menurut beliau, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) akan meneruskan pendekatan penguatkuasaan sedia ada di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) sementara menunggu ketetapan dan arahan lanjut daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Kerajaan Negeri akan terus menyokong dan menyelaraskan tindakan berdasarkan keputusan Kerajaan Persekutuan setelah aspek perundangan serta kaedah pelaksanaannya dimuktamadkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Yang Kelima Belas dekat sini pada 4 November 2026.
Mengulas tindakan terhadap premis perniagaan, Zi Sen memaklumkan bahawa masih terlalu awal untuk menetapkan sebarang keputusan berhubung pembatalan atau pembaharuan lesen perniagaan sedia ada serta penolakan permohonan lesen baharu.
Jelasnya, perkara itu turut merangkumi kemungkinan arahan menghentikan penjualan produk vape bernikotin atau pemberian tempoh peralihan kepada peniaga.
Justeru, sebarang tindakan lanjut hanya dapat ditentukan selepas Kerajaan Persekutuan memuktamadkan aspek perundangan dan kaedah pelaksanaannya.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT