4,949 penjaja di bawah MBPP dan MBSP terima one-off RM500 hari ini

Admin

GEORGE TOWN – Seramai 4,949 peniaga dan penjaja kecil di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) masing-masingnya akan menerima bayaran tunai one-off RM500 daripada Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang hari ini.

Perkara tersebut diumumkan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo pada sidang media di sini pagi tadi.

Jelas Jagdeep, jumlah penerima tersebut meliputi 4,158 orang di bawah MBPP dan MBSP (791) peniaga dan penjaja kecil.

“Bagi MBPP, baki 2,799 peniaga dan penjaja kecil akan dibayar sebelum 15 April 2020.

“Manakala, baki 6,219 peniaga dan penjaja kecil berdaftar di bawah MBSP akan dilakukan secara berperingkat,” ujarnya sambil memberi jaminan bahawa kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan akan membuat pembayaran dalam tempoh tiga hari setelah menerima dokumen lengkap daripada peniaga dan penjaja berdaftar.

Bayaran secara one-off kepada peniaga dan penjaja kecil berdaftar di seluruh Pulau Pinang menelan belanja keseluruhan RM6,983,500 melibatkan 13,967 orang, di mana 6,957 di bawah MBPP dan 13,967 (MBSP).

Hadir sama Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar Yew Tung Seang dan Dato’ Sr. Rozali Mohamud (Datuk Bandar MBSP).

Semakan status kelayakan boleh dibuat melalui laman sesawang Majlis di www.mbpp.gov.my dan www.mbsp.gov.my.

Mengulas lanjut sebagai usaha membantu mereka yang terkesan, Jagdeep memaklumkan bahawa sebanyak 10, 999 premis perniagaan Kerajaan Negeri dan PBT telah menerima pengecualian bayaran sewa premis pada bulan April.

Jelasnya, pengecualian bayaran sewa tersebut melibatkan keseluruhan 10,552 penjaja dan peniaga kecil dengan implikasi kewangan sebanyak RM1,591,144.02 kepada pihak PBT.

“Jumlah premis terlibat di bawah MBPP sejumlah 5,963 premis membabitkan kos RM801,470 dan MBSPP sebanyak 4,589 premis (RM789,674.02),” jelas beliau.

Pada sidang media yang sama, sebagai menghargai jasa wira barisan hadapan di kedua-dua PBT, Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat memaklumkan bahawa semua 4,971 petugas telah menerima insentif khas RM300 daripada Kerajaan Negeri pada 1 April lalu.

“Ia adalah sebagai menghargai jasa mereka yang membantu rakyat Pulau Pinang memerangi COVID-19.

“Dalam pada itu, bagi melindungi petugas-petugas di kedua-dua PBT, MBPP dan MBSP telah memohon peralatan keselamatan diri (PPE) termasuk bahan dan peralatan nyahkuman berjumlah RM1.95 juta,” ujarnya lanjut.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : MBPP