PKP Fasa 1: Kadar kepatuhan rakyat Pulau Pinang capai 95 peratus

Admin

GEORGE TOWN – Kadar kepatuhan terhadap pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi negeri Pulau Pinang meningkat kepada 95 peratus, sebelum berakhirnya Fasa 1 pada 31 Mac lalu.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa kadar kepatuhan PKP bagi Fasa 1 yang dilaporkan oleh Ketua Polis Negeri meningkat dari masa ke masa.

 

REAKSI Ketua Menteri ketika ditemu bual oleh wakil Radio Televisyen Malaysia (RTM) di pejabat beliau di Komtar pagi ini.

 

“Walaupun pada minggu pertama (pelaksanaan PKP) semua pihak berusaha menyesuaikan diri dengan perintah baharu dan mengambil sedikit masa, namun setelah kempen-kempen kesedaran, pemantauan dan penguatkuasaan serta laporan media setiap hari dalam media massa, saya percaya rakyat mulai sedar.

 

“Saya yakin kita mampu mencapai matlamat (pelaksanaan PKP) dan menjangkakan kadar peratusan pematuhan akan bertambah baik apabila kita kini berada dalam Fasa 2 PKP,” ujarnya dalam temubual eksklusif rancangan ‘Selamat Pagi Malaysia’ di saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM) dekat Komtar pagi ini.

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow yakin bahawa rakyat Pulau Pinang kini sedar peri penting untuk semua pihak bekerjasama untuk ‘flattening the curve’ atau meratakan lengkungan seterusnya memutuskan rantaian ancaman wabak COVID-19.

 

Terima kasih kepada semua rakyat Pulau Pinang yang memberikan kerjasama yang baik dalam Fasa 1 PKP.

 

“(Malah) Datuk Bandar bagi kedua-dua Majlis Bandaraya turut melaporkan kadar pematuhan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) mencapai 99 peratus melibatkan pasar-pasar awam dan premis seliaan kedua-dua Majlis Bandaraya,” jelasnya.

 

Menjawab soalan mengenai penubuhan Tabung Covid-19 Pulau Pinang, Kon Yeow menyatakan bahawa tujuannya adalah sebagai platform bagi membolehkan sektor swasta, korporat dan orang-perseorangan menyumbang kepada negeri Pulau Pinang.

 

“Selain itu, dana tambahan daripada Kerajaan Negeri (melalui pemotongan gaji sebulan Ketua Menteri dan Exco) ini akan digunakan untuk memberi bantuan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dan ‘frontliners’ yang terlibat dalam perang melawan COVID-19 di negeri ini,” katanya yang mengalu-alukan sumbangan bagi meringankan beban mereka yang terjejas.

 

Sebagai rekod, hari ini merupakan hari ke-17 pelaksanaan PKP yang dilanjutkan sehingga 14 April ini. 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN