GEORGE TOWN – Seramai 50 bayi yang dilahirkan pada Oktober di Hospital Pulau Pinang (HPP) menerima simpanan RM100 setiap seorang dalam akaun Simpan SSPN Prime serta hamper bernilai RM100 menerusi Program Junior Superhero Simpan SSPN 2026 anjuran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, inisiatif itu bertujuan memupuk budaya menabung dalam kalangan ibu bapa sejak kelahiran anak bagi membantu mereka menyediakan tabungan pendidikan untuk masa hadapan.
“Menjadi tanggungjawab dan hasrat kami di PTPTN untuk menggalakkan perancangan kewangan sejak awal usia, di samping mendidik dan mengubah minda masyarakat daripada meminjam kepada menabung.
“Jadi, tempat yang paling sesuai untuk kita mulakan usaha ini adalah di hospital, sebaik sahaja anak dilahirkan,” katanya ketika berucap pada Program Junior Superhero Simpan SSPN 2026 di HPP di sini pada 27 Oktober 2026.
Hadir sama, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid; Pengurus Besar Kanan PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar; Pengarah Negeri Pejabat PTPTN, Muhammad Muhsin Abdul Rahman serta Pengarah HPP, Dr. Goh Hin Kwang.

Mengulas lanjut, Norliza berkata, inisiatif itu turut melengkapi Program Anak Emas yang dilaksanakan menerusi kerjasama strategik antara PTPTN dengan Kerajaan Negeri bagi menggalakkan tabungan pendidikan dalam kalangan ibu bapa.
“Menerusi program berkenaan, PTPTN memperuntukkan RM10,000 bagi simpanan pendidikan kepada 50 bayi yang dilahirkan di hospital itu sepanjang Oktober 2026, dengan setiap bayi menerima RM100 dalam akaun Simpan SSPN Prime serta hamper bernilai RM100.
“Mulai 15 Januari 2024, sumbangan Program Anak Emas ditambah baik dengan RM100 diberikan dalam bentuk pembukaan akaun atau penambahan deposit akaun Simpan SSPN Prime, manakala RM100 lagi disalurkan kepada pemohon yang layak,” jelasnya.
Menurutnya, sehingga 30 September 2026, sebanyak 12,923 akaun telah dibuka menerusi program itu, dengan jumlah deposit simpanan SSPN sebanyak RM1.29 juta.
Dalam pada itu, Norliza berkata, antara kelebihan Simpan SSPN termasuk pelepasan cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun berdasarkan simpanan bersih, perlindungan takaful percuma kepada pendeposit yang memenuhi syarat, jaminan kerajaan terhadap simpanan serta pemberian dividen.

Selain itu, tambahnya, Simpan SSPN Prime turut menawarkan geran sepadan sehingga RM10,000 kepada keluarga yang layak, tertakluk pada syarat yang ditetapkan PTPTN.
Dalam perkembangan sama, Norliza memaklumkan bahawa PTPTN turut bersedia mengadakan sesi penerangan dan membuka kaunter di HPP bagi membantu kakitangan hospital mendapatkan maklumat mengenai kemudahan simpanan pendidikan serta urusan berkaitan pinjaman pendidikan.
Sementara itu, Hin Kwang berkata, program berkenaan merupakan kali kedua HPP dipilih sebagai tuan rumah, sekali gus memberi manfaat kepada keluarga pesakit dan kakitangan hospital.
“Sebuah reruai turut disediakan di aras bawah bangunan Kompleks Rawatan Harian (ACC) bagi membolehkan orang awam dan kakitangan hospital mendapatkan maklumat lanjut mengenai PTPTN serta membuka akaun Simpan SSPN untuk anak-anak mereka.
“Saya memang penyokong tegar PTPTN, malah kedua-dua anak saya mempunyai akaun Simpan SSPN dan saya bersama isteri membuat simpanan sehingga RM8,000 setiap tahun sebagai tabung pendidikan mereka.
“Saya rasa ini sangat penting sebagai persediaan untuk pendidikan mereka pada masa hadapan.
“Sekalung penghargaan kepada PTPTN atas pelaksanaan inisiatif berkenaan yang bukan sahaja menggalakkan amalan menabung sejak awal usia, malah membantu ibu bapa merancang keperluan pendidikan anak-anak pada masa hadapan,” katanya.

Oleh: NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar: LAW SUUN TING