500 penduduk Bukit Mertajam terima sumbangan sempena Tahun Baru Cina

Admin

BUKIT MERTAJAM – Seramai 500 penduduk dari kawasan Parlimen Bukit Mertajam yang terdiri daripada pelbagai kaum menerima sumbangan sempena perayaan Tahun Baru Cina pada tahun ini.

Sumbangan tersebut disampaikan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong dalam Program Amal Tahun Baru Cina, di sini semalam.

Persembahan nyanyian dan tarian daripada pelajar SMK Jalan Damai yang menghiburkan.

Chee Keong berkata, program berkenaan dianjurkan bertujuan untuk memupuk semangat perpaduan selain meringankan beban golongan yang memerlukan.

“Ini merupakan tahun keempat kita laksana program ini yang bertujuan untuk mencerminkan semangat rakyat Malaysia berbilang kaum yang hidup dalam keadaan harmoni.

“Walaupun dalam suasana komuniti Cina menyambut perayaan dalam penuh kemeriahan, kita juga tidak melupakan golongan yang memerlukan bantuan tanpa mengira kaum, jantina dan peringkat umur,” katanya.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang yang juga Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng, ADUN Berapit, Heng Lee Lee, Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) merangkap Pengerusi Jawatan Penganjur, Bernard Cheen Goon Hooi, wakil-wakil penaja serta komuniti setempat.

Mengulas lanjut, Chee Keong menjelaskan bahawa bantuan yang diberikan adalah berupa barangan makanan serta baucar bernilai RM50 yang boleh ditukar di mana-mana pasar raya terpilih.

Tarian singa yang memukau.

“Bantuan yang kita beri adalah dalam dua bentuk iaitu barangan makanan seperti beras, mi, makanan dalam tin dan sebagainya berjumlah kira-kira RM50 manakala bantuan kedua dalam bentuk baucar bernilai RM50 untuk membeli keperluan lain yang diperlukan oleh penerima.

“Penerima-penerima yang dipilih pula adalah terdiri daripada golongan memerlukan yang mana mereka telah berdaftar di bawah program-program Kerajaan Negeri atau Kerajaan Pusat,” katanya lagi.

Selain pemberian sumbangan, majlis turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian daripada pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Damai serta persembahan tarian singa yang sangat memukau.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NUR AFIQA ZAINUDI