MBPP seru pengunjung lokasi pelancongan praktikkan amalan bawa pulang sampah

Admin
WONG Yuee Hang (berkemeja kelabu) mengangkat sudu pakai buang yang tidak dibuang dengan betul Operasi Larangan Buang Sampah dekat pantai berhampiran Medan Tanjung Bungah baru-baru ini.

TANJUNG BUNGAH – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menyeru pengunjung di lokasi-lokasi pelancongan sekitar Pulau Pinang untuk mempraktik serta membudayakan sikap membawa pulang sampah masing-masing.

 

 

Ahli Majlisnya, Wong Yuee Harng berkata, sikap terbabit mampu menjadikan lokasi tumpuan pelancong minimum sampah sekaligus menjamin kebersihan kawasan persekitaran.

 

“Sememangnya kita (MBPP) ada bekalkan tong sampah di setiap kawasan pelancongan, namun ianya amat terhad sekiranya jumlah pelancong terlalu ramai.

 

“Kita pun tidak mahu lambakan tong sampah di merata-rata… ia bukanlah satu budaya yang sihat dengan meletakkan tong sampah dalam jumlah terlalu banyak,” ujar beliau kepada pemberita selepas menjalankan Operasi Larangan Buang Sampah dekat pantai berhampiran Medan Tanjung Bungah baru-baru ini.

 

Tambahnya, membawa pulang sampah dari tempat pelancongan sudah menjadi satu budaya di negara maju seperti Jepun

 

“Amalan ini bukan sahaja mengurangkan penghasilan sampah sebaliknya mengamalkan sikap kitar semula,” ujarnya.

 

Susulan itu, Yuee Harng turut memberitahu bahawa pihak MBPP akan melakukan operasi sebanyak tiga kali seminggu, tanpa menetapkan hari serta masa.

 

“Kini, kita (Majlis) menumpukan 10 kawasan utama iaitu di Padang Kota, Komtar, Persiaran Gurney, Persiaran Karpal Singh dan Persisiran Queensbay.

 

“Kawasan lain yang turut terlibat adalah Bukit Jambul, Bukit Bendera, Kek Lok Si, Jalan Penang dan Batu Ferringhi,” katanya lagi.

 

Untuk tahun 2018, difahamkan sebanyak 488 Pemberitahuan Tentang Kesalahan (PTK) ataupun kompaun telah dikeluarkan MBPP melalui 160 operasi yang telah dijalankan.

 

Manakala, tahun 2019 (sehingga kini) sebanyak 32 PTK telah dikeluarkan dan setiap PTK yang dikeluarkan adalah bernilai RM250.

 

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI