500 serbu rumah terbuka ADUN Seri Delima

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

SERI DELIMA – Sambutan Aidilfitri tahun ini disambut meriah dengan lebih 500 orang pelbagai kaum mengunjungi Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Seri Delima di Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Taman Tun Sardon baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN), R.S.N. Rayer ketika ditemui berkata beliau amat terharu dengan sambutan yang diberikan dan mengambil peluang untuk bersua muka dan bersalaman dengan segenap tetamu yang hadir.

“Amalan seperti ini (mengadakan rumah terbuka) dapat memberi pengalaman baru kepada semua lapisan masyarakat berlainan
bangsa dan budaya, terutama ketika menyambut sesuatu perayaan.

“Saya gembira dengan sambutan yang diberikan, kita dapat lihat pelbagai bangsa hadir bagaikan satu keluarga, sekaligus membuktikan sokongan mereka masih berkekalan,” kata Rayer.

Tidak terkecuali Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh a/l Ram Singh yang turut hadir memeriahkan sambutan tersebut.

Dalam majlis yang sama, Karpal turut menyampaikan duit raya kepada kanak- kanak yang hadir termasuk sumbangan tiga unit kerusi roda kepada tiga warga emas di sini.

Pengunjung disajikan pelbagai juadah, kebanyakkannya menu tempatan seperti sate, kuah kacang, nasi impit, nasi minyak dan pek ole-ole.