Kebersamaan rakyat hakis asabiah – TKM1

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

BALIK PULAU – Timbalan Ketua Menteri I, Mohd. Rashid Hasnon menasihati semua kaum supaya menyemarakkan lagi sikap kebersamaan serta menghakis ideologi asabiah melampau yang didakwa turut bertentangan dengan nilai- nilai Islam.

Menurut beliau, sikap saling prasangka hanya akan melemahkan kuasa rakyat dalam menghadapi pemimpin asabiah yang zalim.

“Saya juga percaya tiada agama yang mengajar kita melakukan kejahatan,” ujar beliau pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri Telok Bahang, Datuk Abdul Halim Hussain di sini baru- baru ini.

Mohd. Rashid berkata demikian semasa mengulas mengenai pengajaran al- Quran daripada ayat 13 dari Surah Al-Hujraat yang bermaksud, “Wahai manusia, Aku jadikan kamu dari kalangan lelaki dan wanita serta bangsa-bangsa yang berbeza untuk kamu kenal saling mengenali antara satu sama lain.”

Mohd. Rashid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak sekali lagi berkata, sikap saling mengasihi sesama insan akan mendekatkan rasa kemanusiaan rakyat di negeri berkenaan terhadap rakyat yang ditindas seperti di Mesir, Syria dan Palestin belakangan ini.

Lanjutan itu, katanya lagi, bukan Melayu dan bukan Islam wajar dipelawa menyertai Rumah Terbuka Aidilfitri demi melahirkan sikap kebersamaan.

Dalam perkembangan sama, Abdul Halim turut menyempurna majlis pemberian duit raya kepada kira-kira 100 kanak-kanak.

Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman dan Ong Chin Wen (ADUN Bukit Tengah) antara dif kehormat yang hadir pada keraian di Dataran Muafakat, Taman Mini Balik Pulau tersebut.