Peniaga bazar Ramadan dinasihati jaga kebersihan dan kualiti makanan – Exco

Admin

SEBERANG JAYA – Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin bersama-sama Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JNKPP) menjalankan operasi pemantauan Ops Bazar Ramadan dekat Bazar Ramadan Seberang Jaya, semalam.

Bercakap kepada pemberita, beliau menasihati semua peniaga di bazar Ramadan di seluruh negeri supaya menjaga kebersihan serta kualiti makanan yang dijual.

“Seperti yang kita tahu, sepanjang bulan Ramadan ini pelbagai gerai makanan didirikan di seluruh negeri Pulau Pinang.

Dr. Afif Bahardin bersama-sama kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri bergambar selepas menjalankan Ops Bazar Ramadan dekat Bazar Ramadan Seberang Jaya.

“Justeru, Jabatan Kesihatan Negeri akan melakukan pemantauan ke semua premis makanan terutamanya pembekal bahan mentah, pembekal ais, penyediaan makanan termasuk restoran, hotel, dan dapur asrama sekolah.

“Dalam operasi ini, pihak Jabatan Kesihatan Negeri menyemak sijil-sijil dimiliki pengendali makanan untuk memastikan ia diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia  dan keperluan untuk mereka mengambil suntikan anti-tifoid,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Dr. Marina Kamaruddin dan Timbalan Pengarah Kesihatan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan JKNPP, Ku Nafishah Ku Ariffin.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu bahawa sebanyak 2,205 gerai di beberapa bazar Ramadan telah diperiksa oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri tahun lepas.

“Sebanyak 128 pengusaha makanan menerima notis di bawah Seksyen 32B kerana menyalahi undang-undang kesalahan atau peraturan keselamatan dan kualiti makanan bersamaan RM18,200 jumlah kompaun yang dikeluarkan,” jelasnya sebelum membuat lawatan ke gerai sambil mengedarkan apron dan kurma kepada peniaga di bazar tersebut.

Teks : SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN

Gambar : ADUN