5,555 pokok ditanam sempena pemasyhuran MBSP

Admin

PINANG TUNGGAL – Sejumlah 5,555 batang pokok pelbagai spesies ditanam berdekatan tapak projek Setia Fontaines dekat sini oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) sempena pemasyhuran Seberang Perai sebagai bandar raya baru-baru ini.

Menurut Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud, daripada jumlah tersebut, sebanyak 800 batang pokok ditanam serentak di tapak projek Setia Fontaines, di sini.

Peserta program turut bersama-sama menanam pokok dekat tapak Setia Fontaines.

“Program ini amat bersejarah kerana 800 batang pokok yang ditanam di kawasan ini adalah merupakan yang terbesar selepas bandar raya ditubuhkan.

“Selain itu, ia juga merupakan program terbesar yang dapat menyerap 174.28 tan karbon dioksida (CO2) serta menghasilkan 973.8 tan oksigen dan ini menepati sasaran MBSP untuk mencapai bandar rendah karbon menjelang 2022.

“Malah, kita juga telah berbincang dengan pihak SP Setia dan mereka menyatakan kesediaan untuk menjadikan projek terbesar berkeluasan 1,691 ekar ini sebagai model bandar rendah karbon,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian program berkaitan.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman hadir menyempurnakan penanaman pokok berkaitan dekat sini.

Turut hadir, Setiausaha Bandaraya MBSP, Ir. Rosnani Mohamud; Pengurus Besar Setia Fontaines, Ricky Yeo serta wakil dari Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), Christine Cheah-Connery.

Mengulas lanjut, Rozali memberitahu bahawa baki sebanyak 4,655 batang pokok lagi akan ditanam di seluruh kawasan Seberang Perai melibatkan semua pihak termasuk agensi-agensi kerajaan, sekolah, pemaju serta dan komuniti.

Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan Sr. Rozali Mohamud menandatangi plak sebagai gimik perasmian majlis penanaman pokok dekat Tapak Setia Fontaines.

“Kita tanam pokok di 40 lokasi secara serentak dengan tujuan untuk mewujudkan ‘forest park’ yang berkonsepkan ‘tree bank’ supaya baka anak-anak pokok ini dapat ditanam di tempat-tempat lain bagi menjimatkan kos,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Ahmad Zakiyuddin menyifatkan program tersebut sebagai satu permulaan ke arah membina sebuah bandar raya yang sihat dan pintar.

“Justeru, saya harap apa yang ditunjukkan oleh Setia Fontaines akan dapat diikuti oleh banyak lagi pemaju semasa merancang pembangunan yang hendak dilaksanakan di negeri ini,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : LAW SUUN TING