Ahli Parlimen peruntuk RM 14,976 tukar karpet surau Al-Yaqeen

AIR ITAM – Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh memperuntukkan sejumlah RM 14,976 bagi menukar karpet baharu di Surau Al-Yaqeen di sini.

Ramkarpal berkata, proses kerja membekal dan memasang karpet baru di surau itu dimulakan pada 11 September dan telah siap dipasang empat hari selepasnya iaitu 14 September lalu.

“Sebelum ini, karpet lama telah dibasihi oleh masalah kebocoran air akibat daripada lorong air di blok 4C di sini yang bermasalah.

“Justeru, dengan adanya karpet baharu ini diharapkan para penduduk Islam di kawasan ini dapat menunaikan solat dengan baik dan selesa,” ujarnya semasa mengunjungi surau berkenaan pada 4 Oktober lalu.

Karpet baru di Surau Al-Yaqeen yang dapat memberi keselesaan kepada penduduk di kawasan tersebut untuk menunaikan solat.

Turut mengiringi beliau, Pengerusi Surau Al-Yaqeen, Rashid Suhaibudeen.

Mengulas lanjut, Ramkarpal memberitahu bahawa lift di Blok 4E kawasan berkenaan juga telah dinaik taraf dan dalam masa sama sedang berusaha menangani masalah lif di Blok 4A, 4B dan 4C pada masa akan datang.

Sementara itu, Rashid ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada usaha murni yang ditonjolkan oleh Ramkarpal.

“Pemberian karpet ini sememangnya lebih baik dari sebelum ini dan harap penduduk di sini dapat menunaikan solat dengan lebih kerap, harmoni dan tekun.

“Kami juga memerlukan tambahan kemudahan serta fasiliti yang baik untuk mengimarahkan surau seperti penghawa dingin, satu pejabat kecil untuk setiausaha dan juga set komputer bagi urusan surat menyurat,” ujarnya.

Oleh: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN
Gambar : LAW SUUN TING