PIRC platform lahirkan lebih ramai belia kreatif dan berdaya saing, kata TKM I

Admin

SEBERANG JAYA – Aksi memukau ‘pertempuran’ robot-robot jelas menarik perhatian pengunjung pada ‘Penang International Robot Competition’ (PIRC) 2019 yang berlangsung dekat Politeknik Seberang Perai dari 12 hingga 14 Julai lalu.

Salah satu aksi pertempuran robot yang mendebarkan.

Sebanyak lima kategori dipertandingan iaitu lapan kilogram (kg) Robot Rumblez, tiga kg RC Sumo Robot,  tiga kg Auto Sumo Robot, satu kg RC Sumo Robot dan 500gram Auto Sumo Robot.

Selain pasukan-pasukan dari Malaysia, pertandingan pada kali ini juga turut disertai beberapa pasukan dari luar negara iaitu Thailand, Indonesia, Filipina serta Brunei.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang merasmikan majlis penutup PIRC berharap agar kejohanan tersebut dapat meningkatkan minat golongan belia terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) yang menjadi unsur penting untuk mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0.

“Selain itu, diharapkan penganjuran pertandingan ini juga mampu menanam minat belia terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik yang mana akhirnya akan membuka ruang lebih luas dalam penyelidikan berkaitan teknologi robotik.

Persaingan sengit antara pasukan-pasukan yang bertanding.

“Saya yakin, dengan menyediakan peluang yang secukupnya kepada golongan belia, teknologi robotik akan bertambah maju di negara ini dalam tempoh masa yang singkat,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal.

Mengulas lanjut, Ahmad Zakiyuddin menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri bukan sahaja berhasrat untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri maju, malah mampu bersaing dalam bidang STEM.

“Untuk mencapai matlamat tersebut, daya kreativiti dan inovasi masyarakat perlu dipupuk sejak dari usia muda melalui program-program pendidikan, kurikulum dan pertandingan,” ujarnya lagi.

pasukan Ikedi Kogeki menjuari dua kategori utama.

Pertandingan kali ini menyaksikan kumpulan Ikedo Kogeki mengungguli perlawanan apabila muncul juara bagi dua kategori utama selain layak mewakili Malaysia ke pertandingan robotik di Jepun pada Disember ini.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS