Pemasangan sensor Penang Smart Parking fasa pertama, mulai 19 – 25 Julai

Admin

GEORGE TOWN – Pemasangan sensor fasa pertama bagi projek perintis sistem tempat letak kereta secara pintar, Penang Smart Parking (PSP) akan dilaksanakan mulai 19 Julai sehingga 25 Julai ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, sepanjang tempoh tersebut beberapa laluan akan ditutup sementara.

“Bagi fasa pertama, di bahagian pulau, sebanyak 647 petak tempat letak kereta terlibat, manakala Seberang Perai (350 petak).

“Kemudian, pemasangan sensor akan diteruskan selepas tiga bulan pelaksanaan fasa pertama sehingga siap sepenuhnya 36,000 petak tempat letak kereta iaitu dijangka pada Ogos 2020.

“(Dan) aktiviti promosi serta makluman awam akan dilakukan oleh pihak syarikat yang menguruskan sistem ini iaitu Syarikat HeiTech Padu (HTP) Berhad dalam waktu terdekat,” ujarnya pada sidang media di Dewan Bandaraya dekat sini, tengah hari ini.

ALAT sensor yang akan dipasang di 36,000 petak parkir seluruh Pulau Pinang mulai 19 Julai ini.

Hadir sama, Yang Di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud dan Setiausaha Bandaraya bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali.

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Naib Presiden Eksekutif HTP Berhad, Abdul Halim Md. Lassim dan wakil konsultan, Smart City Consultants Sdn. Bhd., Dhev Kumar Raghavan antara yang turut hadir.

Dalam pada itu, Jagdeep memaklumkan bahawa dengan pelaksanaan sistem bersepadu tersebut, pihak Kerajaan Negeri telah bersetuju supaya kadar bayaran parkir dikekalkan.

“Bagi bahagian pulau, kadar 80 sen sejam dan bagi kawasan di MPSP kekal 40 sen sejam. Begitu juga bagi pas bulanan, kekal RM150 sebulan di bahagian pulau dan RM75 sebulan (MPSP).

“Manakala bagi waktu kawalan kadar bayaran diselaraskan bagi seluruh negeri Pulau Pinang iaitu Isnin hingga Sabtu kecuali hari Ahad dan cuti umum bermula jam 8 pagi sehingga 6 petang.

“Walau bagaimanapun, waktu kawalan terbaru ini hanya akan berkuat kuasa setelah tarikh pewartaan dimuktamadkan nanti,” jelasnya.

Dalam pada itu, bagi Abdul Halim, beliau sangat berbesar hati dapat menjalinkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam melaksanakan inisiatif pintar ini.

“Pihak kami amat teruja, dan saya sendiri tidak sabar untuk merealisasikan inisiatif yang pertama seumpamanya di negara ini dan Pulau Pinang mendahuluinya.

“Cuma sepanjang tempoh pemasangan sensor ini, ada beberapa laluan yang terlibat akan ditutup sementara bagi memberi laluan kerja-kerja pengorekan dan pemasangan dilakukan, jadi orang ramai diharap dapat bersabar kerana inisiatif ini akan menjadi penanda aras buat Pulau Pinang,” katanya.

Difahamkan, projek hasil inisiatif pembiayaan swasta (PFI) ini adalah perkhidmatan petak tempat letak kereta berintegrasi dengan menggunakan kombinasi internet of things, perkomputeran awan, sistem pandu arah dan bayaran secara dalam talian.

Usahasama antara Kerajaan Negeri dan pihak berkaitan adalah untuk tempoh 5+2 tahun bermula pada Mei 2019.

Berikut adalah laluan yang terlibat bagi pemasangan sensor di kawasan MBPP dan MPSP dan akan ditutup sementara waktu:

Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)

  1. a. Lebuh Light sehingga Lebuh Chulia – 19 Julai 2019
  2. b. Lebuh Bishop – Lebuh China – Lebuh Chulia – 20 Julai 2019
  3. c. Lebuh China – Lebuh Penang – 21 Julai 2019
  4. d. Lebuh Penang – Lebuh King – 22 Julai 2019
  5. e. Lebuh King – Lebuh Downing – Lebuh Bishop – Lebuh Gereja – 23 Julai 2019
  6. f. Lebuh Gereja – Gat Lebuh Gereja – 24 Julai 2019
  7. g. Gat Lebuh Gereja – Gat Lebuh China – 25 Julai 2019

Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP)

  1. a. Lorong Langsat – 19 – 20 Julai 2019
  2. b. Jalan Ikon City – 21 – 25 Julai 2019

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD