597 notis kesalahan merokok dikeluarkan di Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town sejak 2022 – Exco

Admin
816e533b c765 45ef aa72 09bb17d39553 DANIEL Gooi Zi Sen (depan, tiga dari kiri), Teh Lai Heng (depan, paling kiri), Wong Yuee Harng (depan, dua dari kanan), Dr. Rozaini Mat Shah (tengah) dan beberapa pemimpin lain merakamkan gambar kenangan seusai acara pemasangan payung teduh di salah sebuah beca pelancongan sempena majlis pelancaran promosi bahan kempen Pulau Pinang Bebas Asap Rokok (PENBAR) di Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town dekat Lebuh Armenia pada 5 Jun 2026.

GEORGE TOWN – Sejak tahun 2022, menerusi 114 operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh Penguat Kuasa Kesihatan Negeri, sebanyak 597 notis kesalahan merokok telah dikeluarkan di kawasan Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town.

Lebih membimbangkan, trend peningkatan kesalahan merokok semakin ketara apabila sebanyak 106 notis kesalahan dikeluarkan sepanjang tahun 2025, manakala 127 notis telah dikeluarkan setakat Jun tahun ini.

cfad80b1 5aba 4aa9 a41e 88d44ed0bf7d
DANIEL Gooi Zi Sen dalam sidang media berkaitan di Lebuh Armenia pada petang tadi.

Mengulas lanjut, Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berharap usaha Unit Penguat Kuasa Kesihatan di bawah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) melaksanakan kempen promosi bahan berkaitan inisiatif Pulau Pinang Bebas Asap Rokok (PENBAR) petang tadi dapat meningkatkan kesedaran awam berhubung larangan merokok di kawasan warisan dunia tersebut.

“Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town ini telah diwartakan sebagai zon larangan merokok sejak tahun 2015 dan kini terus diperkukuh berdasarkan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

“Meskipun bilangan operasi kita tingkatkan pada tahun lepas (2025), namun berdasarkan jumlah notis yang dikeluarkan setakat Jun tahun ini, didapati bilangan notis kesalahan yang dikeluarkan telah meningkat.

“Kita berharap semua orang awam, khususnya para pengunjung yang datang ke Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town ini, dapat menyedari bahawa kawasan warisan di sini merupakan zon larangan merokok,” jelasnya kepada pemberita selepas melancarkan kempen promosi bahan PENBAR di Lebuh Armenia di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; ADUN Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng; Timbalan Pengarah (Kesihatan Awam) JKNPP, Dr. Rozaini Mat Shah, serta kira-kira 70 anggota Penguat Kuasa Kesihatan.

Selain pengedaran risalah kempen, Buletin Mutiara dimaklumkan bahawa JKNPP turut memasang 70 sepanduk, 10 banting, payung teduh khas untuk beca pelancong serta mengadakan konvoi bagi menyemarakkan lagi kesedaran awam, khususnya dalam kalangan pengunjung tempatan dan pelancong asing, berhubung larangan merokok di semua bangunan dan kawasan awam dalam zon Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town.

Dalam perkembangan berkaitan, Zi Sen yang juga ADUN Padang Lalang berkata, Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town merupakan antara tujuh kawasan larangan merokok yang diwartakan di negeri ini berdasarkan Akta 852.

Menurut beliau, enam kawasan lain adalah Taman Perbandaran Jalan Utama, Taman Botani Negeri Pulau Pinang, kawasan Empangan Air Itam, kawasan Empangan Mengkuang, Taman Bandar Ampang Jajar dan kawasan Empangan Teluk Bahang.

Berdasarkan Akta 852, kadar kompaun standard bagi individu yang didapati merokok atau menggunakan vape di kawasan larangan merokok adalah sebanyak RM250.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI