STEM Showcase 2026 Edisi AI sasar 20,000 peserta, tampil 78 bengkel interaktif

Admin
img 20260605 wa0045

GEORGE TOWN STEM Showcase 2026 yang akan berlangsung di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Jit Sin II, Simpang Ampat dari 24 hingga 27 Jun ini menyasarkan kehadiran seramai 20,000 peserta menerusi pelbagai aktiviti berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bakal disajikan.

 

 

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar yang juga Ahli Lembaga Pengarah Penang Tech Centre Berhad, Teh Lai Heng berkata, tema ‘Edisi AI’ dipilih sejajar dengan perkembangan pesat teknologi digital serta peranan kecerdasan buatan (AI) yang semakin signifikan dalam pelbagai sektor.

 

 

 

“AI kini merupakan antara bidang utama yang membentuk landskap masa depan digital.

 

 

 

“Oleh itu, pendedahan awal kepada generasi muda amat penting bagi mempersiapkan mereka menghadapi cabaran dan peluang pada masa hadapan,” katanya pada sidang media di Tech Dome Penang dekat sini, hari ini.

 

img 20260605 wa0046

 

 

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Tech Dome Penang, Ts. Khoo Boo Wooi; wakil SMJK Jit Sin II; wakil daripada Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) serta barisan penaja.

 

 

 

Mengulas lanjut, Lai Heng berkata bahawa program selama empat hari itu dibahagikan kepada dua komponen utama, iaitu program dan pertandingan peringkat negeri anjuran JPNPP pada 24 dan 25 Jun, diikuti pameran serta aktiviti yang terbuka kepada orang awam pada 26 dan 27 Jun.

 

 

 

STEM Showcase 2026 yang bakal diadakan bersempena Minggu Sains Negara Zon Utara Malaysia ini juga mendapat sokongan daripada pelbagai syarikat dan institusi pendidikan, dengan Micron bertindak sebagai penaja utama.

 

 

 

“Antara organisasi lain yang terlibat termasuklah Exabytes, Motorola Solutions, Mr. DIY, Cytron Technology, Universiti Sains Malaysia (USM), Pusat Serantau SEAMEO untuk Pendidikan dalam Sains dan Matematik (SEAMEO RECSAM), National STEM Association dan Entopia,” katanya.

 

img 20260605 wa0048
TEH Lai Heng.

 

Difahamkan, sebanyak 78 sesi bengkel interaktif akan dianjurkan melibatkan lebih 3,000 pelajar, termasuk murid sekolah rendah, pelajar sekolah menengah, komuniti B40 serta sekolah luar bandar.

 

 

 

Lai Heng menyifatkan bahawa penyertaan pelbagai kumpulan sasaran ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan pendidikan STEM dapat diakses secara inklusif oleh semua lapisan masyarakat.

 

 

 

Dalam pada itu, beliau berharap program tersebut dapat menjadi platform yang memberi inspirasi kepada lebih ramai pelajar untuk meneroka bidang STEM serta teknologi masa depan, sekali gus melahirkan generasi yang berdaya saing dan bersedia menghadapi era digital.

 

 

 

 

 

Gambar: ALISSALA THIAN