6 lokasi diwarta Zon Larangan Merokok

GEORGE TOWN– Enam kawasan baru diwartakan di bawah peruntukan Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 sebagai zon larangan merokok berkuatkuasa 2 Oktober lalu di bawah Program Pulau Pinang Bebas Asap Rokok (PENBAR) baru-baru ini di sini.
Melalui perisytiharan pewartaan tersebut, maka setiap individu tidak dibenarkan merokok di manamana lokasi diwartakan.
Jika disabit kesalahan, perokok-perokok bakal dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara melebihi dua tahun.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh berkata, pada peringkat awal pelaksanaan, penguatkuasaan akan dijalankan secara nasihat, teguran dan pendidikan (educational enforcement).

“Kita telah menetapkan enam kawasan baru bagi melaksanakan kawasan bebas asap rokok iaitu Taman Perbandaran, Taman Botani, Empangan Air Itam, Empangan Teluk Bahang, Empangan Mengkuang dan Taman Bandar Ampang Jajar,” katanya pada majlis sidang akhbar di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Datuk Dr. Lailanor Ibrahim. Program hasil kerjasama Kementerian Kesihatan melalui Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut adalah untuk melindungi orang awam khasnya golongan kanak-kanak, remaja, wanita dan orang yang tidak merokok daripada bahaya asap rokok basi.

Dalam pada itu, tambah Boon Poh, tabiat merokok mampu menyebabkan pelbagai jenis penyakit, malah, turut memudaratkan orang lain yang berada di sekeliling perokok dan golongan ini dikenali sebagai perokok pasif.

“Laporan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menunjukkan bahawa setiap tahun seramai 600,000 kematian dicatatkan akibat kesan perokok pasif di seluruh dunia. Satu pertiga daripadanya adalah golongan kanak-kanak yang masih belum mengenal erti kehidupan.

“Dalam pada itu, pendedahan kepada asap rokok basi (secondhand tobacco smoke) menyebabkan kesihatan yang buruk. Kajian saintifik turut membuktikan bahawa tabiat merokok boleh menyebabkan penyakit paru-paru obstruktif kronik, penyakit jantung, kanser paru-paru dan pelbagai penyakit kronik lain,” ujar beliau.

Phee bon Poh (kanan sekali) bergambar bersamasama Dr. Lailanor Ibrahim (dua dari kiri) selepas pelancaran Kajian sokongan Terhadap Pelaksanaan PENBAR di sini baru-baru ini.
Phee bon Poh (kanan sekali) bergambar bersamasama
Dr. Lailanor Ibrahim (dua dari kiri) selepas
pelancaran Kajian sokongan Terhadap Pelaksanaan PENBAR di sini baru-baru ini.