60 pasukan sertai kejohanan sepak takraw piala ADUN Jawi

Admin

JAWI – Seramai 60 pasukan serata Malaysia menyertai Kejohanan Sepak Takraw Antara Regu Terbuka anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi Jason H’ng Mooi Lye pada 24 November lalu.

Menurut Mooi Lye, Kerajaan Negeri senantiasa mengalu-alukan aktiviti sihat seumpama ini diadakan.

“Kami (di KADUN Jawi) percaya dengan adanya aktiviti sihat ini ia akan mengeratkan lagi hubungan sedia ada dalam kalangan belia yang mengambil bahagian dalam pertandingan ini,” ucap pada majlis kejohanan berkaitan yang berlangsung di Gelanggang Sepak Takraw Kampung Bagan Buaya dekat sini.

Selain dapat menyumbang ke arah pembentukan sahsiah rakyat yang sihat, Mooi Lye berkata, ia juga dapat melahirkan generasi yang cergas serta berdisiplin tinggi.

“Melalui aktiviti sebegini, semangat juang dipertaruhkan sekaligus dapat menunjukkan komitmen yang tinggi dalam kalangan ahli pasukan untuk menghasilkan kejayaan dalam perlawanan.

“Bagi menarik dan mengiktiraf sukan sepak takraw ini, pihak saya juga telah menyediakan hadiah yang lumayan yang mana juara bakal membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,200 beserta trofi dan medal.

“Manakala bagi naib johan pula akan membawa pulang wang tunai RM850 beserta medal dan tempat ketiga (RM500),” tambahnya yang turut mendokong semangat kesukanan dalam mengeratkan lagi silaturahim dalam kalangan belia.

Pada penganjuran kali ini, Kumpulan Fenhas dari Butterworth dinobatkan sebagai juara manakala naib johan pula Kumpulan Six Z dari Sungai Buloh, Selangor dan tempat ketiga Kumpulan Jitra All Star, Kedah.

Oleh : YUSNINA MOHAMAD YUSOF
Gambar : ADUN