MAINPP teruskan tawaran kepada penghuni enggan pindah di tanah wakaf Masjid Abdul Cauder

GEORGE TOWN – Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) masih meneruskan tawaran pampasan kepada 14 penghuni yang enggan berpindah keluar di atas tanah wakaf Masjid Abdul Cauder di Lot 208, Seksyen 2, Jalan Mengkuang, Seberang Perai Utara (SPU).

Yang di-Pertua MAINPP, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim berkata, langkah untuk meneruskan tawaran pampasan sehingga perintah mahkamah dikeluarkan adalah atas faktor perikemanusiaan meskipun pihaknya cuba mendapatkan milikan kosong atas tanah tersebut sejak 2010.

“Pada tahun 2010, pihak Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) memperuntukkan sejumlah RM50 juta bagi pembangunan di atas lot tersebut untuk membina rumah pangsa kos sederhana rendah 22 tingkat dengan jumlah unit mencecah 470 unit.

“(Dan) 46 pemilik rumah di atas tanah tersebut ditawarkan pampasan rumah ganti rumah, manakala baki unit dibuka untuk sewaan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana atau B40 dengan hasrat bagi menjana pendapatan hasi pengurusan tanah wakaf tersebut.

“Namun, setelah tempoh penerimaan tawaran berakhir pada 15 September 2010, hanya 32 penghuni bersetuju manakala 14 lagi enggan menerima tawaran sehingga ke hari ini meskipun dalam tempoh tersebut beberapa siri pertemuan telah diadakan,” ujarnya pada sidang di pejabatnya di Bangunan JKP dekat sini tadi.

Hadir sama, Setiausaha MAINPP, Zulkifli Long serta Ketua-ketua Jabatan berkaitan.

ABDUL Malik Abul Kassim (tengah) mempengerusikan sidang media di pejabat MAINPP dekat sini tadi.

Menurut Abdul Malik, sehingga perintah mahkamah dikeluarkan, pihaknya masih meneruskan tawaran sama kepada baki penduduk yang enggan berpindah meskipun surat tawaran tersebut berakhir pada 30 November 2018.

Berdasarkan perkembangan semasa, dijangkakan pihak MAINPP akan memperoleh milikan kosong tanah tersebut pada penghujung Disember 2018, dan bersedia sekiranya penghuni-penghuni yang ingkar bersetuju untuk keluar secara aman.

“Kita (MAINPP) jangkakan pelaksanaan perintah akan dikuatkuasakan pada Disember ini.

“MAINPP perlu melihat kepada pelaksanaan milikan kosong yang telah ditangguhkan sebanyak tiga kali sejak penghakiman diperolehi pada 28 Februari 2014.

“Setakat hari ini, mengambil kira kos guaman dikeluarkan bagi mendapatkan milikan kosong tapak tersebut dan bayaran elaun bulanan penghuni lain yang bersetuju telah mencecah RM2.6 juta.

“Oleh itu, tindakan penguatkuasaan terhadap penghuni-penghuni yang ingkar akan diteruskan mengikut lunas undang-undang bagi memastikan MAINPP tidak mengalami kerugian dan membolehkan tanah tersebut dibangunkan sesegera mungkin,” jelasnya sambil membacakan kronologi pengambilan tanah wakaf berkaitan.

Tambah Abdul Malik, MAINPP juga menyediakan 10 unit rumah di Butterworth sekiranya ada dalam kalangan baki penghuni yang enggan berpindah menerima tawaran tersebut.

“Namun, mereka tidak akan menerima bayaran elaun keluar rumah kerana rumah disediakan oleh MAINPP.

“Bukan itu sahaja, kita juga menawarkan sebagai alternatif unit rumah di pembangunan wakaf Teluk Air Tawar sekiranya mereka tidak mahu menerima tawaran di tanah wakaf Abdul Cauder ini,” katanya.

Berikut adalah tawaran diberikan MAINPP kepada pemilik tanah di tanah lot tersebut yang telah bersetuju, dan tawaran sama turut dikemukakan sekali lagi kepada baki penghuni yang masih enggan berpindah keluar :

  1. i.    rumah ganti rumah dengan keluasan 1,000 kaki persegi setiap unit,
  2. ii.   bayaran sewa rumah sementara sebanyak RM500 sebulan sehingga rumah pangsa siap,
  3. iii.   bayaran elaun keluar rumah RM4,000 dan bayaran elaun masuk rumah RM3,500 dan
  4. iv.   bagi keluarga berkelamin, hanya bayaran elaun keluar rumah RM4,000 ditawarkan.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN