200 pelajar KADUN Bagan Jermal terima bantuan awal persekolahan

BAGAN JERMAL – Seramai 200 pelajar dari sekolah rendah dan menengah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bagan Jermal menerima bantuan awal persekolahan hari ini.

Bantuan disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan (ADUN)nya, Soon Lip Chee bertempat di Dewan Badminton Seri Bagan Jermal, di sini, pagi tadi.

Antara pelajar yang layak menerima bantuan.

 

 

 

 

 

 

Lip Chee berkata, program yang buat julung kalinya dianjurkan bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) KADUN Bagan Jermal dan syarikat-syarikat swasta itu menelan kos sebanyak RM23,300.

“Sumbangan ini bertujuan meringankan beban ibu bapa pelajar untuk membuat persiapan dalam menyediakan kelengkapan persekolahan bagi kemasukan sesi tahun depan.

“Kita memahami bahawa ibu bapa sentiasa berusaha memberikan pendidikan terbaik untuk anak-anak.

“Walau bagaimanapun, ada dalam kalangan ibu bapa terpaksa mengambil keputusan memberhentikan anak-anak daripada bersekolah kerana tidak mampu membeli kelengkapan persekolahan yang diperlukan.

“Justeru, diharapkan bantuan ini dapat meringankan beban ibu bapa sekaligus mengelakkan anak-anak daripada keciciran dalam pendidikan,” katanya semasa meramikan program berkaitan.

Hadir sama, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Khong Chee Seong; pengerusi-pengerusi MPKK KADUN Bagan Jermal; wakil-wakil penaja serta barisan para guru.

Soon Lip Chee semasa menyampaikan sumbangan kepada pelajar-pelajar yang layak.

Mengulas lanjut, Lip Chee yang juga Exco Belia dan Sukan memberitahu bahawa majlis penyampaian bantuan tersebut dianjurkan lebih awal iaitu sebelum bermula cuti persekolahan bagi memudahkan para guru mengenal pasti senarai pelajar yang layak menerima sumbangan.

“Justeru, diharapkan pelajar-pelajar yang menerima sumbangan ini dapat belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai keputusan cemerlang dan kembali berbakti kepada ibu bapa.

“Terima kasih juga diucapkan kepada barisan penaja yang bermurah hati menaja sumbangan ini,” katanya lagi.

Difahamkan, pelajar-pelajar dari 10 buah sekolah dalam KADUN Bagan Jermal yang layak menerima sumbangan berupa uniform sekolah, beg, botol air serta stokin.

Teks & Gambar : SUNARTI YUSOFF