Pulau Pinang belum adakan perbincangan sama ada turun had harga rumah pembeli asing atau kekal – Kon Yeow

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang masih belum mengadakan sebarang perbincangan berhubung penurunan had harga siling unit kediaman mewah bagi milikan asing di negeri ini sebagaimana diumumkan di peringkat Persekutuan dalam Belanjawan 2020 baru-baru ini.

 

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, had harga siling unit kediaman mewah sedia ada di negeri ini jauh lebih tinggi berbanding had RM600,000 yang diumumkan di peringkat Persekutuan.

 

 

Kerajaan Negeri telah menetapkan had harga RM1.5 juta bagi unit kediaman bertanah dan RM1 juta bagi kondominium dan apartmen untuk milikan asing.

 

“(Dan) kita (Kerajaan Negeri) boleh memilih sama ada untuk mengikut dasar had harga bagi milikan asing yang diumumkan (melalui Belanjawan 2020) atau mengkaji semula had harga sedia ada,” respons beliau terhadap pertanyaan pemberita sejurus merasmikan Kempen ‘Pink October’ anjuran Gleneagles Hospital Penang di sini tadi.

Kon Yeow ditanya sama ada Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mengikut jejak langkah Kerajaan Persekutuan menurunkan had harga unit kediaman mewah di negeri ini kepada RM600,000 atau mengekalkan dasar sedia ada.

 

 

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen Tanjong memberitahu bahawa penurunan had harga itu adalah wajar bagi memulihkan semula sektor perumahan negara.

 

 

“Rakyat Malaysia bukan tidak ada peluang tetapi tidak mampu membeli pada harga tersebut sehingga menyebabkan berlakunya lambakan.

 

 

(Dan) dasar yang diumumkan itu bukanlah untuk menghakis hak rakyat Malaysia membeli rumah tetapi untuk memulihkan semula sektor perumahan agar ‘sihat’.

 

“Saya percaya dengan keadaan pasaran hartanah semasa akan memaksa pemaju memikir semula jenis rumah yang akan dibina untuk dibekalkan kepada rakyat.

 

 

“Pemaju perlu mengatur semula strategi untuk membekalkan rumah mampu milik dalam paras harga RM400,000 dan ke bawah, dan bukannya RM500,000 ke atas,” jelasnya.

 

 

Tambah Kon Yeow, dasar perumahan sedia ada juga telah meletakkan garis panduan yang mana pihak pemaju diwajibkan untuk memperuntukkan 30 peratus komposisi projek mereka bagi pembangunan rumah kos rendah dan kos sederhana rendah sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat.

 

 

Terdahulu Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan bahawa Kerajaan Persekutuan akan menurunkan had harga bagi kediaman bertingkat di kawasan bandar daripada RM1 juta kepada RM600,000 untuk milikan asing bagi mengurangkan lambakan unit yang tidak terjual.

 

 

Sewaktu pembentangan Belanjawan 2020 pada 11 Oktober lalu, Guan Eng turut mengumumkan bahawa nilai lambakan unit tidak terjual pada suku kedua tahun ini mencecah sehingga RM8.3 bilion.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS