7 dipilih muktamad draf rancangan kawasan khas

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Tujuh individu dari pelbagai latar belakang dilantik menganggotai Jawatankuasa Siasatan dan Pendengaran Awam Mengenai Rancangan Kawasan Khas Bukit Bendera di sini baru-baru ini.

Mereka, Yap Soo Huey (Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Tikus), Abdul Wahab Deraman (Pengarah Perhutanan Negeri), Stewart James Henchie (Kurator Taman Botani), Dr. Francis Loh (Presiden Aliran), Ar. Parama Nathan (Pengerusi Perbadanan Arkitek Malaysia, Pulau Pinang) dan Carol Lim (wakil komuniti Bukit Bendera)

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Datuk Mohammad Yusoff Wazir akan mempengerusikan jawatankuasa itu.

“Kerajaan Negeri melalui mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Negeri telah melantik seramai tujuh orang jawatankuasa siasatan dan pendengaran awam yang terdiri daripada wakil-wakil Kerajaan Negeri, NGO (pertubuhan bukan kerajaan), profesional yang mempunyai ilmu, pengalaman serta berkaliber dalam mengendalikan proses siasatan dan pendengaran awam.

“(Jawatankuasa ini) membuat syor bantahan yang mana diambil kira dalam memuktamadkan draf rancangan kawasan khas sebelum dibawa ke Jawatankuasa Perancangan Bandar & Desa negeri yang dipengerusikan oleh saya,” ujarnya dalam satu sidang media di sini baru-baru ini.

Pada 14 November hingga 10 Disember tahun lepas, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Perancangan Bandar & Desa bekerjasama dengan Perbandanan Bukit Bendera (PBBPP) menganjurkan program publisiti dan penyertaan awam bagi draf kawasan khas di situ.

Guan Eng berkata, penganjuran program itu berdasarkan Seksyen 13, Akta Perancangan Bandar dan Desa, 1976.

Pameran awam diadakan di ruang bawah Bukit Bendera, serentak dekat Aras Tiga, Komtar di sini.

Sebanyak 27 borang bantahan diterima sepanjang kira-kira empat minggu program publisiti dilangsungkan.

Selepas itu, Guan Eng berkata, suatu pendengaran awam pula diadakan berdasarkan Seksyen 14 akta sama bagi menerima cadangan-cadangan orang awam untuk draf rancangan kawasan khas Bukit Bendera.

Jawatankuasa Siasatan dan Pendengaran Awam yang baru ditubuhkan itu antara lain untuk tujuan meneliti kesemua bantahan\ serta membuat syor kepada Kerajaan Negeri.