TKM1 hargai peranan kontraktor Bumiputera Negeri

BAYAN BARU-Projek mega sekalipun hanya akan berjaya dan sempurna di Pulau Pinang sekiranya mendapat partisipasi tidak berbelah -bahagi daripada kontraktor kecil Bumiputera yang berwibawa di negeri ini.

Atas maksud itu, Timbalan Ketua Menteri I, Mohd. Rashid Hasnon barubaru ini menyumbang RM10,000 untuk tujuan kebajikan anggota-anggota Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F (PERKOBF) Pulau Pinang.

“Oleh kerana kontraktor perlu memainkan peranan mereka dengan baik dan mengambil tanggungjawab mereka.

“Maka, Kerajaan Negeri juga akan membantu kontraktor kerana kami sendiri merancang untuk menganjurkan pelbagai bengkel kemahiran,” ujarnya yang juga Exco Pembangunan Industri, Perdagangan Antarabangsa, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Perhubungan Masyarakat semasa merasmikan Majlis Makan Malam PERKOBF di sini baru-baru ini.

Presiden PERKOBF Pulau Pinang, Tahir Jamaluddin Hussain turut berucap pada majlis jamuan malam itu.

Hadir sama, Setiausaha Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Ar. Ang Aing Thye serta tiga Ahli Majlis lain, iaitu, J. Francis, Iszuree Ibrahim dan Foaz Hamid.

Mohd. Rashid berkata , kontraktor Bumiputera yang berwibawa akan senantiasa mencari jalan untuk memajukan diri serta perniagaan mereka dengan memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Rashid berkata, Pulau Pinang bertuah kerana industri pembinaan pada tahun 2012 meningkat sebanyak 15.4 peratus, diikuti, peningkatan sebanyak 14.7 peratus pada separuh pertama tahun lepas.

“Pada tahun 2012 sahaja, MPPP mengeluarkan 47 sebut harga dengan jumlah nilai RM4.821juta, manakala, pada tahun 2013, angka itu meningkat kepada 57 sebut harga dengan jumlah nilai RM7.015 juta,” ujar Mohd. Rashid lagi.

Perkembangan terbaru ini membayangkan Kerajaan Negeri dan kontraktor Bumiputera saling bekerjasama untuk memajukan industri pembinaan di negeri ini.