7 kenderaan sisa pepejal baru untuk Balik Pulau

Admin

GEORGE TOWN – Pembelian tujuh buah kenderaan baru sisa pepejal Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) baru-baru ini mampu mengukuhkan sistem pengurusan sisa pepejal dan meningkatkan tahap penyampaian perkhidmatan pungutan serta angkutan sampah di Balik Pulau di sini.

Yang di-Pertua MPPP, Datuk Ar. Patahiyah Ismail semasa merasmikan kenderaan baru tersebut berkata, dengan kos keseluruhan RM1,944,500, pembelian kenderaan-kenderaan tersebut adalah bagi menggantikan yang usang berusia 19 tahun.

“Tujuh kenderaan tersebut adalah meliputi kenderaan kompaktor sebanyak 3 unit bernilai RM1,009.500, High Side Tipper (2, RM416,000 dan Roll On Roll Off (2, RM519,000).

“Sistem Pengurusan Sisa Pepejal Bersepadu dilaksanakan MPPP adalah secara berterusan dengan memfokuskan kepada aspek 4E iaitu Kejuruteraan (Engineering), Pembelajaran (Education), Penguatkuasaan (Enforcement) dan Efisiensi (Efficiency).

“Perkhidmatan memungut sampah secara hybrid digunapakai di Pulau Pinang dengan membabitkan pelbagai kenderaan seperti kompaktor khusus bagi sampah domestik, Roll On Roll Off (sampah pasar) dan High Side Tipper (sampah pukal atau kebun),” ujarnya pada Majlis Perasmian Tujuh Kenderaan Sisa Pepejal MPPP baru-baru ini di sini.

Hadir sama barisan Ahli-Ahli Majlis dan Ketua-ketua Jabatan MPPP.

Menurut Patahiyah, kenderaan-kenderaan baru tersebut akan beroperasi meliputi sempadan lokasi perkhidmatan yang telah ditetapkan di sekitar Balik Pulau.

“Terdapat tujuh zon kawasan diservis MPPP 100 peratus dan Balik Pulau adalah salah satu daripadanya.

“Perkhidmatan ini akan dilaksanakan mengikut jadual dan waktu ditetapkan iaitu antara jam 8 pagi hingga 5 petang,” ujar beliau.