Cuma 10 minit perangi aedes

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

BATU MAUNG – Cuma 10 minit!, begitulah seruan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Datuk Abdul Malik Abul Kassim berhubung usaha membendung wabak denggi di kediaman masing-masing di sini baru-baru ini.

Katanya, usaha memerangi aedes harus dilaksanakan secara berterusan dan bukannya mengikut musim-musim tertentu.

“Saya menyeru penduduk setempat agar mengambil inisiatif luangkan masa membersih kawasan sekitar kediaman masing-masing.

“Tak perlu lama, cukup kalau 10 minit, ambil masa pantau dan bersihkan kawasan sekitar rumah.

“Kalau nak bendung dari wabak denggi, kita kena mula dari rumah,” katanya ketika hadir merasmikan Program Gotong-royong dan Kempen Batu Maung Bersih, Hijau, Selamat dan Sihat di sini baru-baru ini.

Tambah Abdul Malik, beliau agak terkilan dengan sikap masyarakat kini yang hanya mengharapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membersihkan kawasan taman-taman perumahan, walhal sikap kebersihan harus diterapkan dalam diri masing-masing.

“Agak susah nak beri kesedaran kepada masyarakat kita, sudah terantuk baru terngadah, itupun kalau melibatkan orang yang mereka kenali atau kenalan rapat.

“Oleh itu, dalam menyahut seruan Kerajaan Negeri, hari ini kita adakan serentak aktiviti gotong-royong di lima kawasan, manakala satu kawasan iaitu di Kampung Baru Sungai Ara telah dilaksanakan hari sebelumnya,” jelas beliau yang turut serta turun padang di kelima-lima kawasan termasuk Persiaran Mayang Pasir Bukit Gedung, Jalan Baru Batu Maung dan Medan Batu Maung.

Dalam pada itu, sebagai usaha berterusan, beliau akan terus menganjurkan program gotong-royong dari masa ke masa memandangkan kawasannya diisytihar sebagai kawasan wabak dengan Indeks Aedes (AI) melebihi 1.0.

“Walaupun bebas wabak, kita akan teruskan juga program gotong-royong ini mengikut zon-zon dalam JKKK ( Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti) demi keselamatan, kesihatan dan keselesaan semua,” nyata Abdul Malik.