76% transaksi RMM, Exco kata langkah penyejukan hartanah diteruskan

GEORGE TOWN – Firma hartanah Raine & Home International mendedahkan bahawa separuh tahun pertama (Q2) 2016 menyaksikan jual beli hartanah jenis kediaman rumah mampu milik (RMM) di bawah harga RM500,000 adalah kira-kira 76 peratus, dan peratusan itu kekal pada separuh tahun kedua (Q4) tahun sama.

Mengulas lanjut, Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo memberitahu, Kerajaan Negeri akan terus melaksanakan langkah penyejukan hartanah di negeri ini, supaya pemohon yang benar-benar layak sahaja ditawarkan unit RMM.

“Hartanah mewah didapati jatuh sehingga 15 peratus pada tahun ini (2017), berbanding 2015, dengan penurunan nilai hartanah mewah di atas harga RM500,000 itu akan berlarutan tiga hingga empat tahun.

“Ini menunjukkan permintaan untuk hartanah berharga RM500,000 dan ke bawah begitu mendapat sambutan dan akibat daripada permintaan ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus menguatkuasakan langkah-langkah penyejukan,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Jagdeep memberitahu, angka transaksi hartanah mewah di atas harga RM500,000 menurun 15 peratus itu adalah data kajian yang dikeluarkan oleh firma hartanah CBRE | WTW di CH Williams Talhar & Wong’s 2017 Asia Pacific Real Estate Market Outlook.

Tambahnya, angka 76 peratus transaksi hartanah kediaman berharga di bawah RM500,000 itu pula adalah data kajian yang dikeluarkan oleh Raine & Horne International.

“Menurut Raine & Horne International, 76 peratus dalam Q2 2016 adalah mewakili 5,078 daripada 6,698 transaksi.

“Dan, menurut data kajian itu lagi, 4,178 daripada 5,498 transaksi adalah menyamai angka 76 peratus pada Q4 2016.

“Pun begitu, Kerajaan Pusat melalui Bank Negara Malaysia (BNM) wajar melonggarkan syarat kelayakan pinjaman perumahan supaya lebih ramai pemohon layak membeli RMM yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri,” seru beliau.

Dalam perkembangan lain, Jagdeep melahirkan rasa kecewa kerana tiga projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) membina 4,742 unit rumah awam di Tasek Gelugor, Bukit Gelugor (Seberang Perai Utara, SPU) dan Batu Feringghi yang telahpun diluluskan oleh Kerajaan Negeri masih belum menyaksikan perkembangan positif.