Denggi, jangan pandang ringan, terus jumpa doktor walau demam biasa, nasihat KM

BUKIT TENGAH – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng mengingatkan masyarakat supaya terus berwaspada dengan wabak denggi sungguhpun lokaliti tersebut tidak pernah diserang jangkitan tersebut.

Mengambil contoh Taman Seri Delima Indah, Juru, Seberang Perai Selatan (SPS) yang lima tahun tidak pernah diserang wabak tersebut, namun baru-baru ini mengejutkan semua dengan dua kematian.

“Kawasan ini tidak pernah diserang wabak denggi… sungguhpun kawasan di sini bersih, denggi masih boleh menyerang dari luar atau kita dijangkiti dari kawasan lain.

“Saya berharap denggi dan kematian berhenti di sini sahaja. Jangan pandang ringan tentang denggi,” serunya ketika melawat anak-anak kepada pasangan Allahyarham Azlan Md. Din, 50, dan Allahyarhamah Norma Amiruddin, 45, yang meninggal dunia akibat demam denggi masing-masing pada 16 dan 17 Januari lalu.

Dalam pada itu, Guan Eng turut menasihatkan orang ramai supaya terus berjumpa doktor walaupun hanya mengalami demam biasa.

“Tidak perlu malu dan segan untuk jumpa doktor, tidak kira walau sambutan raya sekali pun, jika demam, terus berjumpa doktor kerana denggi boleh bawa maut,” tegasnya.

Hadir sama, Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin dan Pengerusi Badan Pengurusan Taman Seri Delima Indah, Yahya Othman.

Pada lawatan tersebut, Guan Eng turut menyampaikan sumbangan khas berbentuk wang tunai kepada anak-anak mangsa.

Pasangan tersebut meninggalkan tiga anak iaitu, Nor Hidayah Azlan, 23, Muhammad Ridzwan Idzham Azlan, 18, dan Muhammad Firdaus Azlan, 14.

Ketiga-tiga adik beradik tersebut kini dijaga sementara oleh bapa saudara mereka, Abdul Latif Johor, 58. Afif dalam pada itu menyatakan bahawa individu yang terdedah di persekitaran luar pada tempoh waktu lama perlu lebih berwaspada terhadap ancaman nyamuk aedes.

“Saya sarankan supaya individu yang kerap berada di luar terutamanya, waktu aktif (subuh dan senja) nyamuk aedes, mengenakan pakaian berwarna terang, menutup anggota badan dan menggunakan repelan serangga untuk mengurangkan risiko gigitan nyamuk,” serunya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya.

Sementara itu, Nor Hidayah ketika ditemui memberitahu, tiga ahli keluarganya diserang demam denggi baru-baru ini.

“Arwah ayah masuk hospital pada 14 Januari, ibu masuk pada 16 Januari dan adik (Muhammad Firdaus), 17 Januari.

“Ayah disahkan meninggal dunia pada 16 Januari di Hospital Seberang Jaya dan ibu meninggal dunia pada 17 Januari dekat Hospital Besar Pulau Pinang… adik keluar dari hospital 20 Januari,” ujarnya dalam nada sebak.

Kesempatan sama, Nor Hidayah turut mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri yang sudi meluangkan masa melawat sambil menghulurkan bantuan tunai kepada mereka tiga beradik.