80 sertai Bazar Ramadan Terbesar Di George Town, meriah!

Admin
KETUA Menteri (depan, kanan sekali) diiringi Abdul Halim Hussain (depan, dua dari kanan) dan Teh Lai Heng (depan, tiga dari kanan) semasa acara jerayawara turut menyantuni para penjaja yang menyertai Bazar Ramadan Terbesar Di George Town dekat perkarangan Lanskap A Prangin Mall di sini pada 24 Mac 2023.

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pihaknya berharap penjaja yang menyertai bazar Ramadan di seluruh negeri Pulau Pinang dapat terus bangkit dan memperbaiki kedudukan perniagaan masing-masing selepas terjejas dek pandemik COVID-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

KETUA Menteri semasa menyampaikan ucapan perasmian Bazar Ramadan Terbesar Di George Town, di aras bawah pasar raya Prangin di sini pada 24 April 2023.

Beliau yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkata demikian semasa merasmikan Bazar Ramadan Terbesar Di Pulau Pinang dekat perkarangan Landskap A Prangin Mall, yang disertai seramai 80 penjaja serta peniaga makanan di sini pada 24 Mac 2023.

“Pengoperasian Bazar Ramadan sememangnya aktiviti yang ditunggu-tunggu menjelang ketibaan bulan Ramadan (kerana) ia merupakan program yang amat unik bukan sahaja dalam kalangan orang Islam, malah menarik orang bukan Islam dan juga pelancong.

“Memandangkan lokasi penganjuran bazar ini adalah sangat strategik dan merupakan antara kawasan tumpuan utama, saya kira ia mampu memberikan sedikit kelebihan kepada para peniaga.

“Sememangnya bazar Ramadan di seluruh negeri ini dapat mengembalikan aktiviti perniagaan pasca pandemik COVID-19 yang mana rata-rata (peniaga kecil dan penjaja) terjejas perniagaan mereka,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Sehubungan itu, Kon Yeow menyatakan bahawa pihaknya berharap Prangin Mall selaku penganjur Bazar Ramadan Terbesar Di George Town dapat memastikan aspek kebersihan dan keselamatan berkaitan demi memastikan kelangsungan aktiviti ekonomi rakyat di sini serta peniaga-peniaga di dalam pasar raya tersebut berjalan lancar.

Bercakap pada majlis sama, Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain memberitahu bahawa penyertaan kira-kita 80 penjaja dalam Bazar Ramadan Terbesar Di George Town 2023 melambangkan sambutan menggalakkan daripada pelbagai pihak berbanding penganjuran kali pertama program tersebut pada tahun lepas.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga ADUN Batu Maung berkata bahawa peringkat Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup ketika ini akan terus berusaha mengurangkan kos sara hidup rakyat melalui dua program utama iaitu Inisiatif Menu Rahmah dan Program Bakul Rahmah khusus untuk kelompok isi rumah berpendapatan 40 peratus paling rendah (B40).

“Sungguhpun (dalam menjayakan Inisiatif Menu Rahmah) ini tidak ada paksaan, tetapi kita (Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan) menggalakkan para peniaga boleh menawarkan Menu Rahmah yang mana (seperti) restoran, gerai penjaja ataupun di bazar-bazar Ramadan yang ada.

“Bagi mereka yang terkesan atau menghadapi masalah daripada segi pendapatan, skim bantuan kewangan dilancarkan (iaitu IPR atau Inisiatif Pendapatan Rakyat),” ujarnya.

Tidak setakat itu sahaja, Abdul Halim memberitahu bahawa peringkat Kerajaan Persekutuan juga akan melancarkan program inisiatif lain seperti Jualan Rahmah.

“Dulu, kita panggil Jualan Hari Keluarga Malaysia, tetapi sekarang kita panggil Jualan Rahmah yang akan diadakan di setiap parlimen seluruh negara,” ulasnya.

Manakala, Pengerusi Penganjur Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMC) Prangin Mall merangkap Pengerusi Penganjur Bazar Ramadan Terbesar Di George Town, Dato’ H’ng Ban Choon pula menyatakan bahawa acara penjajaan di sini akan berlangsung sehingga 21 April ini.

ADUN Komtar, Teh Lai Heng yang juga Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri; Ketua Pegawai Eksekutif Penang Halal International Sdn. Bhd., Fazil Irwan Som dan Pengurus Besar Adabi, Dato’ Jaafar Abdul Ghani turut sertai majlis pelancaran berkenaan.

KETUA Menteri diiringi Abdul Halim Hussain turut mengambil kesempatan mengedarkan pek bubur lambuk secara percuma kepada para pengunjung Bazar Ramadan Terbesar Di George Town dekat perkarangan Lanskap A Prangin Mall di sini pada 24 Mac 2023.

Seusai majlis pelancaran tersebut, Kon Yeow diiringi Abdul Halim dan tetamu jemputan lain menyempurnakan acara pengagihan bubur lambuk secara percuma kepada para pengunjung Bazar Ramadan Terbesar Di George Town.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS